Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman ketika Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya sempena perayaan Aidilfitri 2022 di Kuantan City Mall di Kuantan

BOMBA SEDIA JENTERA, ANGGOTA DI TIGA KAWASAN R&R SEPANJANG AIDILFITRI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan

KUANTAN, 24 APRIL 2022 : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang akan menempatkan anggota dan jenteranya sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini di tiga kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Pengarah JBPM Pahang, YH. Dato’ Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata ia melibatkan tiga R&R di Genting Sempah, Temerloh, dan Gambang.

“Kita akan menempatkan anggota seramai tujuh orang dan sebuah jentera serta sebuah unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) iaitu ambulan bomba di setiap lokasi R&R ini bermula 25 April sehingga 9 Mei.

“Pasukan ini juga akan ditugaskan selama 24 jam secara bergilir bagi memastikan tindakan lebih efisyen dan cepat dapat dilaksanakan sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas perasmian Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya sempena perayaan Aidilfitri 2022 di Kuantan City Mall di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.

Menurut beliau, pihaknya juga akan menggerakkan pasukan peronda bagi jalan Persekutuan terutamanya melibatkan kawasan yang telah dikenalpasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku kemalangan.

“Di jalan Persekutuan pula, kita akan menggerakkan pasukan peronda bagi melakukan rondaan dan tidak mempunyai kawasan tumpuan seperti yang dilakukan di LPT.

“Bagi jalan Persekutuan dan jalan negeri, kita akan memastikan balai-balai berhampiran untuk mengambil tanggungjawab melakukan pemantauan.

“Unit-unit rondaan motosikal khususnya akan membuat rondaan ke kawasan-kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi berlakunya kemalangan supaya mereka dapat lebih cepat bertindak sekiranya berlakunya insiden,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihaknya juga sentiasa bersiap-siaga dalam memberikan respon dan khidmat kebombaan yang terbaik kepada masyarakat bukan sahaja di musim perayaan tetapi setiap masa. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram