Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 19 APRIL 2022: Kerajaan Negeri menganjurkan program Tadarus dan Khatam Al-Quran bersempena sambutan hari Nuzul Al-Quran, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, melalui majlis tadarus ini, semua yang hadir dapat menyemarakkan amalan-amalan yang telah lama tidak dipraktikkan dalam masyarakat sekarang.
“Kerajaan Negeri beraspirasi untuk mewujudkan bukan sahaja komuniti yang mempunyai infraksruktur berkualiti tinggi, malah mempunyai nilai-nilai kejiranan dan permuafakatan yang tinggi, kerajaan ingin menyemat semangat kejiranan dan transformasi ini diperkukuhkan melalui majlis-majlis sebegini.

“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, pihak saya mengambil inisiatif mengadakan majlis ini bagi menghidupkan lagi suasana Ramadan dan mengambil peluang bagi mengumpulkan golongan wanita dalam satu majlis ilmu yang banyak memberikan manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Wanita Peringkat Negeri Pahang 2022 di Dewan Dato’ Noor Aziz Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), hari ini.
Majlis berkenaan dihadiri Pengerusi Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai), Datin Sri Dato’ Burhah Mohamed serta ahli-ahli Teratai.
Pada majlis sama, seramai 30 orang asnaf dari Parlimen Indera Mahkota menerima zakat daripada MUIP.
Dalam pada itu Dato’ Sri Hajah Shahaniza berkata, melalui majlis ini juga, wanita-wanita ini dapat berkenalan, membina ukhuwah sesama mereka dan seterusnya dapat bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain.
“Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Justeru, saya menyeru golongan wanita untuk bersama-sama melibatkan aktiviti kemasyarakatan antaranya ialah dengan menyertai program persatuan melibatkan diri dalam kejiranan dan sebagainya,” katanya.
Majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran Wanita anjuran Kerajaan Negeri Pahang kali ke-13 ini diselaraskan oleh Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga dengan Kerjasama AMSAS dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bersama-sama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan, Majlis Ugama Islam Pahang dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Penerangan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Pembangunan Wanita Negeri, Majlis Pembangunan Wanita Pahang (MPWP), Skuad Waja, sektor swasta serta NGO-NGO Wanita di Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA