Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
TEMERLOH, 15 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dengan peranan aktif masjid dan surau di negeri ini.
Titah baginda, peranan masjid telah diperluas sebagai pusat penerangan, keilmuan, kebajikan dan juga aktiviti sosio ekonomi.

“Saya cukup berbesar hati apabila melihat banyak masjid dan surau di negeri saya telah memainkan peranan besar dalam membantu masyarakat khususnya ketika pandemik COVID-19.
“Tadbir urus sebeginilah yang saya mahu ahli-ahli kariah, jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid, tonjolkanlah, lebih-lebih lagi dalam soal kebajikan rakyat. Banyak masjid dan surau begitu aktif mengadakan food bank sehingga kini. Alhamdulillah, saya berharap usaha ini diteruskan agar golongan yang benar-benar memerlukan tahu masjid adalah lokasi yang boleh mereka tuju,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Kampung Batu Sawar yang dinamakan sebagai Masjid Osman Bin Affan dan juga majlis berbuka puasa, di sini.
Masjid berkenaan mula dibina pada 10 November 2008 dan siap pada 22 Ogos 2009 dengan kos sebanyak RM450,000 serta mampu menampung kapasiti 300 orang jemaah dalam satu masa.
Pada majlis sama, baginda juga berkenan sumbangan zakat kepada 180 orang penduduk Dewan Negeri Kerdau serta menyampaikan kurniaan sepuluh buah komputer kepada anak-anak asnaf.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, YB. Dato’ Sri Dr Ismail Mohamed Said, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Hj Osman.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar masjid dan surau dapat diimarahkan dengan turut bersama melibatkan anak-anak agar mereka lebih dekat dan suka dengan masjid sekaligus membentuk peribadi yang taat dan patuh kepada hukum dan adab sewaktu berada dalam masjid.
“Jawatankuasa masjid yang telah diberikan amanah diharap menjaga rumah Allah SWT dengan sebaik mungkin. Buat lah pelbagai program yang bermanfaat bagi menarik minta rakyat untuk datang ke masjid lebih-lebih lagi kepada orang muda dan kanak-kanak.
“Kutipan derma dan sedekah yang diperoleh bukanlah untuk di simpan tetapi digunakan dengan berhemah agar memberi manfaat kepada semua pihak,” titah baginda.
Sementara itu baginda turut menyentuh berkenaan penjagaan khazanah Alam dengan bertitah agar prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus atau ESG perlu sentiasa diamalkan oleh kerajaan negeri, pihak pelabur serta rakyat jelata.
“Prinsip ESG ini bukanlah satu perkara yang baharu, sebaliknya prinsip ini selari dengan apa yang Islam ajarkan. Kerajaan saya mempunyai tugas da tanggungjawab berat untuk memastikan khazanah Alam di Pahang ini diuruskan dengan sebaik-baiknya.
“Namun begitu, tanggungjawab ini juga harus dipikul bersama kita semua. Saya bertitah agar rakyat semua untuk turut sama-sama mengamalkan prinsip ESG,” titahnya. – PAHANGMEDIA