Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan (Praktikal)
KUANTAN, 14 APRIL 2022 : Penjawat awam di Pahang menyatakan perasaan gembira dan syukur apabila YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan Bantuan Khas Aidilfitri bernilai RM1,200 setiap seorang.
Bantuan Khas Aidilfitri ini akan dapat memberi manfaat kepada 8,000 penjawat awam seluruh Pahang dengan jumlah keseluruhan RM9.6 juta bagi semua perjawatan yang akan bermula 20 April.
Berdasarkan tinjauan oleh Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) mendapati penjawat awam di Pahang sangat gembira dengan pertambahan RM200 berbanding Bantuan Khas Aidilfitri pada tahun lalu.

Bagi seorang penjawat awam, Encik Ts Muhaimin Mustaqim Jamaludin, bantuan khas yang diberikan oleh kerajaan negeri ini membawa khabar gembira apabila ianya dapat membantu penjawat awam melengkapkan keperluan perayaan setelah dua tahun tidak dapat meraikan perayaan terbesar umat Islam itu.
“Jadi, Alhamdulillah pada kali ini, perayaan yang kita akan sambut pada zaman endemik ini, menerusi bantuan itu pula memang banyak membantu perkhidmatan awam di Negeri Pahang bagi membuat sambutan perayaan yang meriah.
“Sebagai penjawat awam di Pahang kita mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada YAB Menteri Besar di atas keprihatinan mengumumkan bantuan kewangan tersebut,” katanya.

Manakala bagi Puan Suhailey Bakar, bantuan tersebut bukan sekadar meringankan beban bagi kakitangan awam tetapi juga membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap warga kerja dan beliau mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Haji Wan Rosdy.
“Terima kasih Tok Wan di atas bantuan raya yang baru-baru ini diwar-warkan, RM1,200 Tok Wan, terbaik SUK Pahang,” katanya.

Bagi Encik Ahmad Sharizal Abdul Malik pula, bantuan khas ini dapat digunakan untuk melengkapkan barangan keperluan hari raya bagi keluarganya.
“Bagi saya ia amat terbaik kerana dapat membantu perbelanjaan seharian saya dan keluarga untuk hari raya, terima kasih tok wan,” katanya.

Puan Faizah Abdul Samat pula menyatakan rasa terharunya apabila menerima perkhabaran pemberian bantuan khas aidilfitri tersebut dan menyifatkan ianya sangat membantu kakitangan awam di Pahang terutama di dalam keadaan ekonomi ketika ini.
“Kiranya duit raya yang diberikan itu cukup bermakna kepada ramai penjawat awam dengan keadaan ekonomi kita sekarang.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang dan juga kerajaan negeri di atas pemberian duit raya kepada semua penjawat awam di negeri Pahang, terima kasih,” katanya. – PAHANGMEDIA