KUANTAN, 14 APRIL 2022 : Usaha membudayakan inovasi dan kreativiti perlu diterapkan dengan lebih komprehensif dan menyeluruh untuk diimplementasikan ke dalam sistem pentadbiran kerajaan, awam, swasta mahupun dalam masyarakat bagi memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, inovasi ialah kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan.
Jelasnya, ia adalah hasil cetusan idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi.
Justeru komitmen dalam mendukung agenda inovasi sentiasa mendapat keutamaan pihak kerajaan dan agenda ini perlu dalam memastikan penyampaian perkhidmatan dalam kerajaan khususnya dapat digerakkan dengan lebih pantas selaras dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pahang Inovatif 2022 Peringkat Negeri Pahang Anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang Dengan Kerjasama Yayasan Inovasi Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang secara dalam talian hari ini.
Sementara itu, beliau turut berharap agar penganjuran seminar ini dapat menjadi program pembuka untuk penganjuran majlis yang lebih berprestij tersebut tidak lama lagi. – PAHANGMEDIA