Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 13 APRIL 2022 : Kerajaan Negeri Pahang hari ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Negeri Pahang sempena Aidilfitri sebanyak RM1,200 kepada 8,000 penjawat awam negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak RM9.6 juta telah diperuntukkan bagi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri ini oleh Kerajaan Negeri melibatkan semua gred perjawatan.
“Bonus penjawat awam (Aidilfitri) ini ada peningkatan, tahun lepas Kerajaan Negeri bersetuju memberi sebanyak RM1,000 untuk bonus Hari Raya melibatkan lebih kurang 8,000 penjawat awam di Negeri Pahang.
“Oleh sebab kedudukan kewangan negeri agak baik, stabil, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menambah bonus Hari Raya ini daripada RM1,000 kepada RM1,200.
“InsyaAllah kita akan bayar bermula pada 20 April ini. Maknanya semua penjawat awam akan dapat bonus ini sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan Sumbangan Awal Persekolahan Murid Tahun 1 Sesi 2022 di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Turut hadir YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin; dan barisan exco Kerajaan Pahang.
Beliau berharap bonus Aidilfitri yang diberikan ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh penjawat awam sebagai persediaan menyambut hari raya.
Beliau turut menggalakan anak syarikat Kerajaan Negeri untuk memberikan bonus Aidilfitri kepada pekerja masing-masing.
“Mereka (anak syarikat Kerajaan Negeri) ada perkiraan masing-masing, dia tak sama dengan penjawat awam sebab mereka ini ada yang untung masing-masing.
“Tapi kita galakkan mereka untuk beri kerana lazimnya mereka akan ikut Kerajaan Negeri sebab hari raya ini cuma setahun sekali sahaja,” katanya.
Beliau dalam majlis berkenaan turut menyampaikan bantuan wang tunai RM100 kepada pelajar Tahun 1 di negeri ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM2.514 juta.
“Bantuan Pelajar Tahun 1 sebanyak RM100 tunai ini melibatkan 25,146 orang murid, dengan peruntukan keseluruhan RM2.514 juta ringgit.
“Ini melibatkan 25,051 pelajar dari sekolah rendah kebangsaan seluruh Pahang dan 95 pelajar Sekolah Rendah Tahfiz Negeri Pahang,” katanya.
Kerajaan Pahang pada Sabtu lepas mengumumkan pemberian Bantuan Prihatin Pahang 2022 bernilai hampir RM30 juta yang melibatkan kira-kira 300,000 penerima daripada empat kluster utama penerima. – PAHANGMEDIA