Muhammad Hairil Syafiq Jonaidi, 18, bersama dua lagi adiknya, Muhammad Amir Hamzah Jonaidi, 17, dan Muhammad Amirul Azran Jonaidi, 16, telah menerima kunci rumah mereka daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud, di Sri Damai, Kuantan.

TIGA BERADIK TERHARU TERIMA RRP

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohd Mahathir Mohd Ali dan Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan (praktikal)

KUANTAN, 13 APRIL 2022 : Tiga beradik terharu menerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang dinamakan atas arwah ayah mereka, Jonaidi Hassan, 44, yang meninggal pada Oktober tahun lalu.

Menurut anak sulungnya, Muhammad Hairil Syafiq Jonaidi, 18, dia bersama sangat terharu menerima kunci rumah tersebut meskipun arwah sudah tiada.

Dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang yang sangat prihatin membantu rakyat terutama golongan yang memerlukan.

“Daripada saya Muhammad Hairil Syafiq bin Jonaidi, saya nak ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negerir Pahang yang telah membantu kami lima beranak untuk duduk di rumah baru ini bagi keselesaan kepada kami, terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Muhammad Hairil Syafiq bersama dua lagi adiknya, Muhammad Amir Hamzah Jonaidi, 17, dan Muhammad Amirul Azran Jonaidi, 16, telah menerima kunci rumah mereka daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud, di Sri Damai, Kuantan.

Hadir sama ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pekan, Puan Nursafariza Ihsan.

Pada majlis sama, Muhammad Hairil Syafiq turut menerima sumbangan beberapa anak pokok buah-buahan untuk ditanam di halaman rumah baharunya.

Muhammad Hairil Syafiq yang kini bekerja bersama syarikat swasta hanya berpendapatan RM1,000 sebulan untuk menanggung keluarga manakala dua adiknya telah berhenti sekolah dan bekerja kerana tidak mampu selepas kematian bapa mereka akibat penyakit darah tinggi.

Dua lagi adiknya, Zulaika Jonaidi, 9, mengikuti ibu mereka berhijrah ke Sibu, Sarawak manakala adik bongsunya, Muhammad Amar Qayyum, 3, berada di bawah jagaan keluarga angkat di Felda Jengka 7. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram