YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika pengumuman dividen KOSMA di Wisma Sri Pahang, hari ini.

KOSMA AGIH DIVIDEN TERTINGGI DALAM SEJARAH PENUBUHAN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 13 APRIL 2022 : Koperasi Serbausaha Makmur Sdn Bhd (KOSMA) hari ini mengumumkan jumlah agihan dividen tertinggi yang dicatatkan sepanjang penubuhannya sejak 55 tahun lalu.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain hasil peningkatan harga minyak sawit mentah, prestasi cemerlang KOSMA bagi tahun 2021 ini juga merupakan hasil usaha Jawatankuasa Pentadbir dan pengurusan terutamanya di peringkat ladang dalam mengawal kos operasi di sebalik peningkatan mendadak harga input perladangan seperti baja dan bahan kimia.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“KOSMA telah bersetuju memberi Dividen Modal Syer sebanyak 55 peratus manakala bagi Agihan Keuntungan Unit Ladang, sebanyak RM 6,000 seunit boleh diagihkan kepada semua anggota yang layak.

“Jumlah pembayaran bagi Dividen Modal Syer adalah sebanyak RM31.47 juta, manakala pembayaran bagi Agihan Keuntungan Unit Ladang adalah sebanyak RM30.73 juta.

“Jumlah keseluruhan yang dibayar ialah RM 62.20 juta menggunakan keuntungan tahun semasa, tanpa menggunakan wang rizab yang ada dan pembayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank 1500 orang anggota yang layak secara berperingkat bermula dari 15 April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media berkenaan pengumuman dividen KOSMA di Wisma Sri Pahang, hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika pengumuman dividen KOSMA di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengurus Besar KOSMA, Encik Mohd Shafirun Mohd Azba, Pentadbir KOSMA, Encik Zahari Abdul Aziz serta Pengurus Kewangan KOSMA, Puan Razlina Radzil.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata kesemua faedah dan manfaat anggota-anggota KOSMA yang lain seperti Bantuan ekonomi, dermasiswa, dermasiswa, khairat kematian, bantuan bencana dan lain-lain faedah dan kemudahan anggota tetap akan disalurkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa Pentadbir KOSMA.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pentadbir dan Pengurusan KOSMA kerana seingat saya inilah Agihan dividen dan keuntungan yang paling tinggi dalam sejarah KOSMA,” katanya.

Pada sidang media sama, KOSMA turut menyerahkan sumbangan tiga buah van jenazah kepada tiga buah Badan Khairat Kematian Masjid iaitu kariah Masjid Kampung Sarang Tiong, Tanjung Gemuk Rompin, kariah Masjid Pulau Pasir Mandi, Kerdau dan kariah Masjid Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Kuantan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram