Adik Nur Iman Mohd Azli Lee, 13, menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini.

ADIK NUR IMAN MAHU JADI PAKAR ANIMASI

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 12 APRIL 2022 : Minat yang mendalam terhadap seni lukisan serta sokongan padu diberi ibu bapa mendorong adik Nur Iman Mohd Azli Lee, 13, untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang animasi.

Bermula sejak di usia enam tahun, adik Nur Iman mula melukis dan lukisan kegemarannya adalah naga dan ia terus berkembang seiring usia apabila dia kini dikenali sebagai pelukis ilustrasi buku kanak-kanak yang dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

Menurut anak bongsu daripada enam beradik dari Kampung Alor Ara, Pekan ini, dia sedang mengikuti kursus animasi secara personal bersama Animonsta Studios yang terkenal dengan kartun animasi BoboiBoy.

Seiring dengan keperluan semasa, adik Nur Iman memerlukan gajet khusus bagi mengembangkan minat dan bakat yang dimiliki dan ia direalisasikan Kerajaan Negeri Pahang yang prihatin terhadap kebolehan serta potensi tinggi dimilikinya.

Adik Nur Iman Mohd Azli Lee, 13, menunjukkan animasi yang dihasilkan olehnya.

Adik Nur Iman yang hadir ke Wisma Sri Pahang bersama bapanya, Encik Azli Lee Abdullah menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, hari ini.

“Saya nak buat animation (animasi), seronok juga pengalaman buat lukisan animasi untuk buku kanak-kanak. Terima kasih sebab bagi sumbangan untuk beli laptop (full set HD laptop high spec & drawing monitor display), saya boleh belajar animasi lebih banyak lagi,” katanya.

Adik Nur Iman yang juga anak novelis terkenal, Puan Amaruszati Noor Rahim telah melukis ilustrasi bagi buku kanak-kanak tempatan yang dibawa ke peringkat global antaranya bersempena Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020, GAPENA dengan kerjasama pihak Persatuan Nusantara Moscow menghasilkan 20 buah Siri Cerita Rakyat Malaysia (Bahasa Melayu/Rusia).

Bapanya Encik Azli Lee Abdullah yang juga bekas guru turut terharu dengan sumbangan yang diterima dan berharap ia dapat membakar semangat untuk anaknya terus mengembangkan bakat yang ada di dalam diri.

“Saya bagi pihak adik Nur Iman ingin mengucapkan terima kasih kepada MB kerana prihatin terhadap bidang seni dan sanggup memberi dana untuk membeli laptop untuk tujuan belajar animasi,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram