YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika mempengerusikan mesyuarat dan taklimat penambahbaikan bekalan air daerah Lipis yang turut dihadiri oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Sallehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

KERAJAAN PAHANG PERUNTUK RM32.2 JUTA SELESAI MASALAH AIR DI LIPIS

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 11 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memperuntukkan sebanyak RM32.2 juta bagi menyelesaikan masalah air di tujuh kawasan tumpuan di Lipis.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata langkah penambahbaikan bekalan air di kawasan terlibat telah dan sedang dijalankan secara menyeluruh demi manfaat rakyat.

“Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah menaiktaraf sistem agihan air di Loji Rawatan Air (LRA) Jelai dengan kos pembinaan RM15.8 juta yang bakal memberi impak positif kepada 6,378 akaun.

“Fasa pertama telah pun siap dan fasa kedua projek ini dijangka siap sepenuhnya pada September 2022. Fasa pertama telah memberi impak di kawasan-kawasan hotspots di Sg Kerpan, Cheneras Jaya, Maktab Perguruan Ampuan Afzan, Sekolah Sri Lipis, Flat Tempoyang, Kuarters Kerajaan Batu 3, Jeram Bungor dan Kuala Lanar.

“Kapasiti Loji Jelai ini telah dapat dinaikkan dari menghasilkan 500m3 sejam kepada 1000m3 sejam air terawat. Kenaikan kapasiti 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat dan taklimat penambahbaikan bekalan air daerah Lipis yang turut dihadiri oleh YB. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Sallehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang telah memperuntukan RM111 juta bagi membekalkan liputan air baharu di kawasan luar bandar di Lipis.

“Terima kasih juga kepada pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar kerana banyak membantu mengatasi masalah bekalan air di Lipis dengan menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM111 juta.

“Perancangan untuk mengatasi masalah air di daerah lain juga kini sedang diperincikan dalam masa terdekat. Saya yakin segala perancangan yang diatur ini dapat memberi keselesaan berpanjangan kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, menurut Encik Saiful Zaini, sekiranya kesemua projek telah disiapkan sepenuhnya, ia dapat menyelesaikan masalah kira-kira 11,000 akaun pengguna.

“Kesemua projek ini melibatkan 11,154 akaun pengguna yang terlibat di mana daripada jumlah ini 92 akaun di Rumah Murah Sungai Kerpan telah pun selesai.

“Bakinya pula melibatkan LRA Benta iaitu Pekan Benta, Jerkoh, Budu, Kemahang, Tanjung Besar, Jeransang, Batu 13, dan Taman Jelai. Ia juga melibatkan pemegang akaun dari LRA Benta ke Kampung Tersusun Jerkoh sepanjang 5 kilometer. Ia juga melibatkan LRA Kechau; LRA Merapoh, Lipis; LRA Jelai; dan Rumah Pam Kampung Bukit Kota,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram