Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
MARAN, 09 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memperuntukkan sebanyak RM21 juta bagi kerja menaiktaraf paip air di Maran.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, peruntukan ini melibatkan dua projek iaitu di Pekan Awah dan Pekan Tajau.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri, YAB Menteri Besar telah pun meluluskan peruntukan sebanyak RM5.2 juta untuk menyelesaikan masalah air di Pekan Awah dan kawasan sekitar ini.
“Tempoh yang diberikan adalah 15 bulan untuk disiapkan dan kita jangka selepas ini lebih 3,000 pengguna akaun yang terjejas ini akan selesai masalah.
“Pihak PAIP juga memperuntukkan RM16 juta lagi untuk menggantikan paip baru daripada Pekan Tajau sehingga ke Sri Jaya yang mana memang line yang itu selalu paipnya pecah, paip lama. Jadi keseluruhan untuk daerah Maran ini RM21 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Dengan Kerjasama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bersama masyarakat Pekan Awah, Maran hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari dan Pegawai Daerah Maran, YH. Dato’ Sharuddin Jali.
Beliau berkata, program hari ini juga dijalankan bagi memberi kefahaman dan penjelasan kepada orang ramai berkenaan projek yang sedang dilaksanakan oleh PAIP selain mengambil tahu masalah yang dihadapi masyarakat setempat.
“Apa yang kita laksanakan hari ini lebih kepada memberi kefahaman kepada masyarakat. Kita tak nak masyarakat kata kita umumkan peruntukan tapi dia tak tahu apa yang akan dilaksanakan dengan peruntukan tersebut.
“Jadi kita beri penjelasan kepada masyarakat disini apakah yang akan dilaksanakan melalui peruntukan tersebut,dalam masa yang sama kita ambil kesempatan untuk masyarakat berdialog dengan pihak PAIP tentang masalah bekalan air yang dah sekian lama membelenggu penduduk di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Encik Saiful Zaini berkata, projek di Pekan Awah ini melibatkan pembinaan paip baharu jenis paip penyambungan bagi memastikan masalah air yang berlaku dapat diselesaikan.
“Paip baharu ini kita buat dari Tangki Air Gau ke Tangki Risda di Batu Tujuh yang akan terus ke tangki Pekan Awah, dan paip dari Pekan Awah ke Kampung Lada.
“Dengan penyelesaian tersebut insyaAllah tekanan akan elok memandangkan ianya paip jenis sambungan, dan aliran juga akan lebih baik untuk kawasan ini tapi kita memerlukan masa sedikit lebih kurang 12 bulan ke 15 bulan,” katanya. -PAHANGMEDIA