Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 APRIL 2022 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengekalkan kadar caj permit perniagaan bagi Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri sebagai usaha membantu peniaga-peniaga terbabit untuk meneruskan perniagaan mereka tanpa kenaikan kadar caj yang dikenakan.
Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, pengekalan kadar caj permit perniagaan ini diberikan sebagai sokongan kepada peniaga yang ingin memulakan kembali perniagaan mereka terutama pada bulan Ramadan ketika ini.
“Dari segi caj, tidak ada perubahan bermaksud kekal dengan kadar lama dan kita harap usaha ini juga dapat membantu golongan peniaga dan penjaja apabila tidak berlaku sebarang kenaikan kos dan saya mengharapkan perkara ini dapat dimaksimumkan oleh pihak penjaja dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Pasar Ramadan / Basar Aidilfitri Lestari dan Pintar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bagi Tahun 2022 / 1443H dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara MBK dan Axiata Digital Ecode Sdn Bhd di Mahkota Square, di Kuantan, petang semalam.

Jelasnya, sebanyak 17 penganjur Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di 25 lokasi di mana 20 lokasi ialah Pasar Ramadan manakala lima lokasi lagi ialah Bazar Aidilfitri dengan jumlah keseluruhan peniaga ialah seramai 1,045 orang.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak MBK telah mendapat kebenaran daripada Kerajaan Pahang untuk membenarkan aktiviti berbuka puasa di Padang MBK 1, Kuantan sebagaimana seperti lazimnya, sebelum ini.
Walau bagaimanapun, aktiviti tersebut terpaksa dihentikan kerana penularan wabak COVID-19 sejak dua tahun lalu dan kini aktiviti terbabit dibenarkan kembali dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengawal jangkitan COVID-19.
Justeru katanya, MBK telah menyediakan 140 petak bertanda tanpa sebarang bayaran dikenakan bagi memastikan penjarakan antara orang ramai yang ingin berbuka puasa di padang MBK 1.
“Saya merasakan bahawa ini adalah permulaan untuk kita membudayakan masyarakat dan diri kita, perkara-perkara yang mungkin dahulu tidak ada dalam disiplin kehidupan tetapi pada hari ini kita telah belajar banyak perkara ketika berada di dalam tempoh pandemik ini,” katanya.
Tegasnya, pihak MBK juga akan mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk memastikan bahawa makanan dan juadah yang dijual di bazar Ramadan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk pengguna. – PAHANGMEDIA