YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada sesi penggulungan semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini

SIDANG DEWAN : KERAJAAN PAHANG PERUNTUK LEBIH RM2 BILION BAGI PROJEK BEKALAN AIR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan (praktikal)

KUANTAN, 01 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukan lebih RM2 bilion bagi menjalankan projek-projek bekalan air di seluruh negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata projek yang dijalankan merupakan komitmen berterusan bagi menampung keperluan bekalan air yang efektif di seluruh negeri ini.

“Menjawab soalan Yang Berhormat Pulau Manis, untuk mengatasi isu bekalan air di Kampung Sri Makmur, Kg Belimbing, Kg Sri Gemuruh dan kawasan sekitarnya, PAIP akan membelanjakan sebanyak RM4.15 juta bagi kerja-kerja naik taraf paip, muka sauk loji dan membina rumah pam baharu. Projek ini akan siap penghujung tahun ini.

“Menjawab soalan Yang Berhormat Sungai Lembing, PAIP akan melaksanakan 6 Projek Bekalan Air di Sg. Lembing dengan jumlah peruntukan RM7.95 Juta. Projek ini akan siap pada suku ketiga tahun 2023.

“Menjawab soalan Yang Berhormat Sabai, PAIP sedang dalam proses pembinaan Loji Rawatan Air Karak Fasa 2 yang akan siap pada suku ketiga tahun 2022. Kos Projek adalah sebanyak RM45 Juta.

“Menjawab soalan Yang Berhormat Damak, Negeri Pahang telah menerima peruntukan berjumlah RM60 juta untuk Projek Naiktaraf Loji Rawatan Air Batu Balai melalui Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB). Projek ini dalam peringkat penyediaan dokumen lantikan perunding akan dibuat pada suku tahun ketiga 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan hala tuju serta langkah penyelesaian isu bekalan air di kawasan terlibat dapat diselesaikan, beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP akan turun padang.

 “Saya juga telah meminta CEO PAIP untuk bertindak lebih agresif, turun padang setiap dua minggu sekali, serta menyediakan Pelan Komunikasi yang lebih efektif bagi memastikan rakyat Negeri Pahang cakna akan pelaksanaan projek-perojek ini. Beliau dan pasukannya telah turun padang ke Kampung Kuala Atok, Raub dan FELDA Sungai Retang, Jerantut baru-baru ini.

“Selain itu, saya sendiri akan turun padang menjelajah ke setiap daerah di seluruh Pahang untuk mengadakan mesyuarat bersama Pengurus PAIP Daerah dan juga pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan tersebut. CEO PAIP akan turut dilibatkan dalam siri jelajah ini.

“Ia bukanlah mesyuarat biasa seperti kelazimannya tetapi mesyuarat yang berfokus membincangkan hala tuju serta langkah penyelesaian isu bekalan air di kawasan tersebut,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram