YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada sesi penggulungan semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini

SIDANG DEWAN : KERAJAAN PAHANG PERUNTUK RM184.4 JUTA SELESAI ISU AIR

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
 

KUANTAN, 01 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memperuntukan sebanyak RM184.4 juta bagi memberi fokus kepada penyelesaian sistem bekalan air di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah peruntukan yang akan dibelanja pada tahun ini melibatkan lebih 70 projek di seluruh Pahang.

“Antara projek tersebut ialah projek memasang paip sepanjang 35 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Keloi sehingga ke Kampung Ulu Atok di Raub yang bernilai RM12 juta. Projek ini dijangka siap pada suku kedua tahun 2023; projek menaiktaraf sistem bekalan air di Felda Sungai Retang, Jerantut yang berjumlah RM3.4 juta, projek akan siap pada November tahun 2022; dan projek menaiktaraf sistem bekalan air di Pekan Awah, Maran dengan peruntukan sebanyak RM5.2 juta, projek akan ditender pada Jun 2022.

“Projek membina, menyiap, dan menauliah pemasangan tangki sedutan dan rumah pam di Perantau Damai, Rompin yang berjumlah RM346,000. Projek akan siap pada Mei 2022; projek penambahbaikan bekalan air di Taman Bukit Koman, Raub dengan peruntukan sebanyak RM353,000. Projek akan siap pada Mei 2022; dan projek menaiktaraf sistem bekalan air di Kawasan Jalan Bukit Damar–Kampung Bolok Hilir, Lanchang dengan peruntukan RM1.2 juta. Projek akan siap pada Oktober 2022.
 
“Cadangan penggantian paip hantaran baru dari HDPE kepada MSCL 200mm dari loji ke rumah pam PPSK Sri Makmur, Pekan sepanjang 8.5 kilometer berjumlah RM3 juta. Projek akan ditender pada Jun 2022; cadangan pemasangan paip baru dari Simpang Koyan ke Kampung Tanjung Gahai di Jelai dengan peruntukan RM4 juta. Projek akan ditender pada April 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini

Menurut beliau lagi, kos peruntukan ini turut melibatkan penggantian pam baharu di seluruh negeri ini dengan melibatkan kos sebanyak RM12.1 juta.
 
“Penggantian pam dan kerja-kerja berkaitan di rumah Pam Kobat, Kuantan sebanyak RM23 juta. Lima pam pertama dijangka akan siap dipasang pada bulan Ogos 2022. Ini akan meningkatkan kapasiti air mentah ke Loji Rawatan Air Semanbu Fasa 1 dan 2.
 
“Cadangan projek membekal dan memasang paip jenis Mild Steel bersaiz 200mm dari Tangki Imbangan Jenderak Utara ke Kampung Paya Luas, Kuala Krau sepanjang 4 kilometer dengan kos RM1.2 juta.
 
“Membekal dan memasang kabel Amoured dari Motor Control Centre ke muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bera Kompleks, dengan peruntukan RM250,000,” katanya.

Tambah beliau lagi, peratusan kawasan tumpuan yang mengalami masalah bekalan air di negeri ini melibatkan hanya 4.37 peratus iaitu 20,000 akaun. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram