Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang komited dalam usaha membanteras kegiatan penerokaan tanah kerajaan tanpa kebenaran sah yang merupakan kesalahan di bawah peruntukan Seksyen 425 (1) Kanun Tanah Negara (Akta 828).
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang telah melaksanakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan haram terbabit.
Menurutnya, kerajaan juga telah mengenakan tindakan penyitaan mesin dan jentera yang digunakan, jumlah kompaun yang tinggi sehingga membawa kepada pendakwaan kes di mahmakah.
“Setakat Mac 2022, sebanyak lapan kes penyitaan mesin dan jentera bernilai RM245,000 telah direkodkan, sebanyak RM87,500 kompaun telah dikeluarkan serta lapan kes pendakwaan telah dan sedang dibawa ke mahkamah bagi kesalahan menceroboh tanah kerajaan.
“Selain itu, terdapat dua lagi kes di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang masih di dalam siasatan dan tindakan lanjut oleh pihak UPNP untuk diambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berucap demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Shahrim Md Zain berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah haram pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Bagi menjawab soalan daripada ADN Ketari, YB. Puan Young Shefura Othman berhubung kawalan pembukaan tanah hutan simpan dan penyalahgunaan aktiviti ke atas tanah hak milik individu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, pihak kerajaan melaksanakan pelbagai usaha bagi membanteras penjenayah alam sekitar yang melakukan pencerobohan penerokaan haram dalam hutan simpan.
Menurutnya, antara usaha yang dilaksanakan adalah pemantauan kawasan hutan menggunakan satelit, pemantauan secara langsung menggunakan helikopter untuk melihat pembukaan kanopi pokok di kawasan hutan dan risikan atau pemantauan di lapangan oleh kakitangan penguatkuasaan.
“Kerajaan juga melaksanakan operasi bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Bersepadu Negeri bagi penerokaan haram dan pembakaran terbuka di Tanah Kerajaan dan Tanah Milik.
“Pasukan Elit Penguatkuasaan Negeri Pahang juga telah ditubuhkan bagi membanteras aktiviti perlombongan haram, penebangan hutan yang tidak terkawal dan pencerobohan tanah,” katanya.
Jelasnya, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah merekodkan sebanyak 57 kes membabitkan penerokaan hutan untuk mengambil hasil hutan dan juga penerokaan untuk pertanian pada tahun 2021 dan kesemua kes ini telah dibuka kertas siasatan berdasarkan peruntukan kuasa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 pindaan 1993. – PAHANGMEDIA