Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)
KUANTAN, 1 APRIL 2022 : Tiada atlet yang berasal dari negeri Pahang tersenarai dalam 144 atlet negara yang digugurkan daripada program latihan kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Bin Haji Hussain berkata, kesemua 13 orang atlet Program Podium dan tiga orang atlet Pelapis Kebangsaan dari negeri ini masih dikekalkan untuk menjalani latihan.
“Mereka sedang menjalani latihan persediaan bagi tiga temasya utama tahun ini iaitu Sukan Sea 2022, Vietnam, Sukan Komanwel 2022 Birmingham, England dan Sukan Asia 2022 Hangzhou, China.
“Mereka juga menjadi keutamaan Majlis Sukan Pahang dalam membantu atlet-atlet yang berpotensi dan berprestasi untuk diketengahkan dengan membantu atau membiayai atlet menyertai kejohanan peringkat kebangsaan sebagai syarat melayakkan diri mewakili negara ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Teruntum, YB. Encik Sim Chon Siang pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Sementara itu beliau berkata, Majlis Sukan Pahang telah selesai menyiapkan Pelan Pembangunan Sukan Prestasi Tinggi Negeri Pahang 2021-2030 (REVOS2030) yang bertujuan untuk kemajuan sukan negeri ini khususnya.
“Lima teras strategik utama iaitu Kelestarian Bakat Sukan, Atlet Sukan Berprestasi Tinggi, Fasiliti Sukan Berkualiti, Keutuhan Sokongan Persatuan dan Komuniti serta Profesionalisme Pengurusan Sukan menjadi panduan untuk memastikan negeri Pahang terus komited melahirkan atlet yang mampu mengharumkan nama negara.
“Selain itu, antara inisiatif di bawah teras pertama yang dikenalpasti ialah pemerkasaan garis panduan carian bakat, memacu keterlibatan komuniti dalam carian bakat, penggunaan ikon sukan negara sebagai daya penarik bakat muda sukan, meningkatkan kerjasama carian bakat di peringkat sekolah bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan juga penjenamaan semula program pembangunan bakat sukan Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA