Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Haji Mohd Johari ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN : KERAJAAN NEGERI SEDIA LITAR MOTORCROSS DI ROMPIN

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 31 MAC 2022 : Kerajaan Negeri telah mengenalpasti tapak seluas 33.43 ekar di Kampung Tebu Hitam, Rompin yang akan dijadikan litar motocross.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari berkata, pihak Jabatan Belia dan Sukan telah mengangkat cadangan pembinaan litar berkenaan dalam Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia ke-12.

“Usaha ini akan memberi keceriaan kepada anak muda khususnya mereka yang serius mahupun baru berkecimpung dalam sukan lasak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pelbagai program telah diatur termasuk pada tahun lalu Kerajaan Negeri telah melaksanakan tanggungjawab berkaitan perlindungan keselamatan sosial kepada rakyat di negeri ini dengan pembayaran keseluruhan faedah sebanyak RM34.2 juta (setakat Disember 2021) meliputi perlindungan kepada lebih 19,588 majikan dan 261,342 pekerja.

“Perkeso juga telah menyalurkan lebih RM602 juta di bawah program subsidi upah melibatkan 24,429 kelulusan permohonan majikan yang merangkumi 184,552 permohonan pekerja.

“Perkeso turut menyalurkan bayaran faedah sebanyak RM3.37 juta kepada lebih 4476 kes tuntutan melibatkan Covid-19 yang diluluskan (setakat Disember 2021),” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Temasya Sukan Malaysia Edisi Ke-20 bakal dianjurkan pada 29 September hingga 8 Oktober 2022 yang dikenali sebagai SUKMA XX, MSN 2022 bertempat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur serta mempertandingkan 31 jenis sukan iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan.

“Kontinjen Sukma Negeri Pahang akan menyertai 26 jenis sukan dengan jumlah keseluruhan kontinjen dianggarkan seramai 514 orang pegawai dan atlet.

“Selain itu, tahun 2022 akan menyaksikan tiga kejohanan utama iaitu Kejohanan Sukan SEA Hanoi Vietnam 2022 mulai 12 hingga 23 Mei 2022,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini seramai 23 orang atlet negeri Pahang telah disenaraikan iaitu lapan orang atlet silat, lima orang atlet bola tampar, seorang atlet berbasikal (wanita), tiga orang atlet ESport, seorang atlet gimnastik, dua orang atlet olahraga, seorang atlet bowling, menembak dan taekwando.

“Kejohanan Sukan Komanwel dikenali sebagai Birmingham 2022 Commonwealth Games akan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos 2022 di Birmingham, England telah menyenaraikan dua orang atlet daripada sukan lawn bowl dan angkat berat.

“Kejohanan Sukan Asia pada tahun ini dikenali sebagai ‘19th Asian Games Hangzhou 2022′ akan diadakan di Hangzhou Zhejiang, China pada 10 hingga 25 September 2022, tetapi tiada atlet yang disenaraikan oleh Majlis Sukan Negara setakat ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download