Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin ketika sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini.

SIDANG DEWAN : KERAJAAN PAHANG PERTINGKAT KEBAJIKAN RAKYAT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
 
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan perbelanjaan yang besar dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif kebajikan untuk rakyat di seluruh negeri dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21.815 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, peruntukan tersebut diberikan bagi dimanfaatkan oleh golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak dan Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP).
 
Menurutnya, kerajaan juga berusaha mempertingkatkan potensi golongan wanita supaya mereka dapat menyumbang usaha terhadap pembangunan negara dalam aspek ekonomi, politik, budaya dan sosial dengan lebih efektif.
 
“Di Negeri Pahang, pelbagai inisiatif telah dirangka bagi memperkasa wanita sebagai nadi yang menjadi penyumbang penting dalam pembangunan negara.
 
“Untuk itu kerajaan telah merangka pelbagai inisiatif bagi mencapai matlamat tersebut iaitu pengwujudan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang (DPTWP), Program Anggun Niaga, Program Cakna Suri dan Program Anak Kebanggaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022),” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini.

Bagi Program Anak Kebanggaan Pahang 2022 (Pahang Pride Kid 2022), beliau berkata, selain menerima manfaat barangan bayi dan ibu serta simpanan bank di bawah Skim Akaun Simpanan-i Nuri, pihak bank juga menawarkan Program Laman Pahang Pride-Bank Rakyat di mana jangkaan 25,000 pokok akan ditanam setahun mewakili setiap bayi yang dilahirkan dengan jumlah keseluruhan RM250,000.
 
Program ini juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Hutan Negeri Pahang dengan meibatkan 14 lokasi seluruh Pahang antaranya Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Kuantan, Pekan, Maran, Kuala Krau, Bera dan Rompin membabitkan kawasan seluas 69.47 hektar.
 
Selain itu katanya, Kerajaan Pahang turut berkolaborasi bersama Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN) bagi melaksanakan beberapa inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan persekutuan untuk meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam ekonomi dan sokongan psiko-sosial.
 
“Dalam kontek psikososial, Sukarelawan Skuad Waja ditubuhkan, bagi kontek memperkasakan NGO wanita negeri pula, Bantuan Khas Perbendaharaan NGO dan inisiatif PENJANA 2021 diperuntukkan,” katanya.
 
Beliau berkata, pada 2021, sebanyak 17 NGO telah diluluskan di Pahang melalui peruntukan Bantuan Khas Perbendaharaan NGO KPWKM dengan peruntukan RM228,000.
 
“Kesemua inisiatfi seperti Pahang Pride Kid dan Pahang Pride Kasih adalah cetusan ilham oleh YAB Menteri Besar Pahang sebagai manifestasi Kerajaan Negeri agar setiap golongan masyarakat berbangga sebagai anak Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download