Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan (praktikal)
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Kerajaan Pahang melalui PERKESO telah melaksanakan 100 temuduga mingguan bagi memastikan kadar pengambilan pekerja dipertingkatkan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain berkata pihak PERKESO juga merangka konsep pemadanan kerja yang lebih teratur dan bersasar.
“Pada tahun ini persediaan rapi dalam aspek pemadanan golongan pencari kerja aktif telah dirangka secara lebih teliti dan bersasar di mana 20 sesi profiling tambahan telah dirangka melalui bajet yang diperuntukkan untuk dilaksanakan bagi mengenalpasti secara langsung golongan pencari kerja yang sukar mendapat akses terus kepada Portal MYFutureJobs,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Haji Md Zain berkenaan perancangan FELDA bagi membantu mengurangkan pengganguran di kalangan generasi baharu semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini
Beliau berkata setakat 28 Februari sebanyak 25 Program Temuduga Mingguan telah dilaksanakan di Pejabat PERKESO Negeri Pahang, Temerloh, dan Bentong.
“PERKESO juga bercadang untuk melancarkan 11 Siri Karnival JaminKerja Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Program Karnival JaminKerja di ADTECH, Jerantut pada 26 Mac lepas,” katanya. -PAHANGMEDIA