Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Projek menaiktaraf jalan Felda Keratong-Bahau telah dimasukkan dalam senarai projek keutamaan Negeri Pahang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata cadangan menaiktaraf jalan FT11 ini telah dimohon dalam RMK-11.
“Jalan Keratong-Bahau adalah Jalan Persekutuan FT11. Manakala jalan Segamat-Kuantan adalah Jalan Persekutuan FT12.
“Cadangan menaiktaraf jalan FT11, Rompin dan cadangan menaiktaraf jalan FT12 fasa 2 telah dimohon dalam RMK-11, Rolling Plan Pertama (RP1), RMK-12, namun masih belum diluluskan.
“Kedua-dua cadangan projek ini sekali lagi diangkat permohonan dalam RP3, RMK-12 untuk kelulusan. Projek ini akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan oleh pihak Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Kerja Raya kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, YB. Datin Shamsiah Arshad berkenaan cadangan Kerajaan untuk menaiktaraf jalan Keratong-Bahau dan jalan Segamat-Kuantan supaya menjadi lebih selesa semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini
Beliau berkata rancangan Struktur Negeri Pahang 2050 telah mengenalpasti cadangan menaiktaraf jakan selaras dengan cadangan pembangunan di kawasan koridor jalan berkenaan.
“Melalui strategi DT1-S1 memperkukuhkan hubungan jaringan jalan raya wilayah dan negeri agar kemudahsampaian dapat dipertingkatkan melalui Inisiatif Pelaksanaan T1S1-P1 iaitu membina jalan baharu dan menaiktaraf jalan raya sedia ada agar aksesibiliti wilayah ke Negeri Pahang dapat dipertingkatkan.
“Bagi T1S1-P2 pula bagi memastikan cadangan jalan baharu dan naiktaraf jalan di peringkat kajian rancangan tempatan dilaksanakan mengikut tempoh perancangan yang ditetapkan bagi memastikan jaringan jalan raya disemua daerah dipertingkatkan,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang juga menyenaraikan cadangan jangka pendek bagi tahun 2016 sehingga 2030 dan jangka panjang 2030 hingga 2050.
“Naiktaraf Lebuh Raya Tun Abdul Razak FT12, Jalan Gambang Segamat; dan naiktaraf Jalan Persekutuan 11 iaitu Bahau-Keratong-Rompin.
“Bagi cadangan jangka panjang bagi 2030 hingga 2050 pula cadangan lebuh raya bersepadu Seremban-Kuantan (SPEX), dan cadangan Lingkaran Luar Kuantan,” katanya. -PAHANGMEDIA