Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 30 MAC 2022 : Kerajaan Pahang menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Task Force COVID-19 Negeri Pahang telah mengeluarkan kebenaran mengerjakan solat tarawih 20 rakaat di semua masjid dan surau di seluruh negeri ini sepanjang bulan Ramadan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di Facebook beliau berkata, kebenaran turut diberikan bagi penganjuran majlis berbuka puasa, moreh dan sahur serta program penghayatan ibadah sepanjang bulan Ramadan seperti qiamullail dan tadarus Al-Quran.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memutuskan untuk memberi kebenaran bagi pengoperasian/ aktiviti Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
“Masa perniagaan aktiviti Pasar Ramadan bermula dari 3 petang hingga 8 malam manakala bagi aktiviti Bazar Aidilfitri dari 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam (tertakluk kepada ketetapan oleh Pihak Berkuasa Tempatan),” katanya.
Menerusi kenyataan tersebut juga, semua peniaga, pekerja dan juga pelanggan perlu mempunyai status telah lengkap divaksinisasi.
“Manakala golongan yang berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas 70 tahun dan ke atas adalah tidak digalakkan untuk mengunjungi Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.
“Dalam pada itu, semua peniaga digalakkan untuk menyediakan dan menawarkan kaedah alternatif bayaran tanpa tunai atau “cashless”. Ini bagi mempercepatkan masa, mengurangkan sentuhan dan mengelakkan kesesakan berlaku di tapak-tapak jualan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan mengenai kebenaran aktiviti berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 sepanjang Ramadan ini namun perlu ditempah terlebih dahulu.
“Sementara itu, sukacita saya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk membenarkan aktiviti berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 sepanjang Ramadan ini. Tempahan boleh dibuat secara atas talian di laman rasmi Majlis Bandaraya Kuantan.
“Kebenaran berbuka puasa di Padang MBK 1 ini diberikan dengan mengambil kira kadar kebolehjangkitan yang rendah di kawasan terbuka.
“Sebanyak 136 lot petak untuk berbuka puasa disediakan. Tempahan bagi setiap lot digalakkan dibuat sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh berbuka dan tertakluk kepada kekosongan. Tempoh masa yang dibenarkan adalah dari jam 6 petang sehingga jam 8.30 malam,” katanya.
Beliau dalam kenyataannya turut menyampaikan ucapan selamat menyambut Ramadan bagi seluruh rakyat di negeri ini.
“Selamat menyambut Ramadan bagi seluruh rakyat di Negeri Pahang Ayuh kita manfaatkan ketibaan Ramadan kali ini untuk memperkukuh ukhwah dan kesatuan kita sesama umat Islam selain melipatgandakan amal Ibadah kepada Allah SWT,” katanya. -PAHANGMEDIA