Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 29 MAC 2022 : Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan segera dalam meminimakan kesan banjir jika ia kembali berulang pada masa akan datang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada bagaimana alam berinteraksi termasuk kejadian-kejadian luar jangka akibat perubahan iklim.
“Setiap musim sebelum kita menghadapi musim banjir, saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri akan mendengar taklimat yang dibentangkan Jabatan Meteorologi, setiap dibentangkan lazimnya taburan hujan adalah betul tetapi di mana tempat nak berlaku banjir tu selalu tak betul.
“Saya dah mendengar tiga kali taklimat, baru-baru ni dalam taklimat tak sentuh langsung faktor puing di Bentong tapi banjir berlaku disebabkan puing, begitu juga sebelum itu di Maran, katanya tiada banjir di situ tapi berlaku juga di Maran.
“Fenomena ini berlaku disebabkan hujan terlalu lebat, kadang-kadang longkang tak boleh menampung jumlah taburan air hujan menyebabkan banjir dan lazimnya banjir kilat dengan faktor seperti longkang kecil sangat, sungai cetek dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai kenyataan balas berkenaan usaha mengatasi banjir yang dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Triang, YB. Cik Leong Yu Man pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, tindakan serius diambil bagi menyelesaikan hal berkenaan termasuk mengadakan mesyuarat pasca banjir melibatkan Pegawai Daerah serta pegawai-pegawai berkaitan.
“Saya telah mengubah pendekatan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai berkaitan dengan meminta setiap daerah datang untuk membentangkan tiga perkara yang saya nak tahu iaitu punca, isu yang dibuat semasa banjir dan apakah cadangan.
“Hasil daripada pertemuan dengan 14 buah daerah saya dapat malumat yang sangat baik, contohnya di daerah Cameron Highlands kita tidak ada pun sistem pergerakan tanah andainya berlaku pergerakan tanah di Cameron Highlands kita tak ada siren yang diperlukan walhal kosnya RM1.5 juta sahaja.
“Jadi, jumlah keseluruhan kos asas yang diperlukan untuk meminimakan banjir adalah sebanyak RM53 juta dan kita telah menulis surat kepada Kerajaan Pusat dituju kepada YAB Perdana Menteri dan Alhamdulilah kita telah terima kelulusan untuk buat kerja-kerja yang sewajarnya dalam tempoh segera,” katanya. -PAHANGMEDIA