Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Shamim Aiman (Pratikal)
KUANTAN, 29 MAC 2022 : Pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands akan dapat dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) telah selesai melaksanakan Kajian Kesesakan Lalulintas Cameron Highlands pada 7 Oktober 2021.
“Lanjutan daripada itu, pihak KKR perlu membentangkan hasil kajian tersebut kepada pihak Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) terlebih dahulu.
“Dalam masa yang sama, pihak JKR Pahang melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Pahang telah mengangkat permohonan Projek Cameron Highlands Bypass kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) secara berfasa dalam Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanah Rata, YB. Encik Chiong Yoke Kong pada sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5, Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Jelasnya, skop perunding yang dilantik oleh KKR hanya untuk Kajian Kebolehlaksanaan Jalan Pintasan Cameron Highlands atau Kajian Kesesakan Lalulintas Cameron Highlands sahaja.
“Manakala bagi Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) secara terperinci akan dilaksanakan dalam fasa penyediaan rekabentuk setelah projek ini diluluskan perlaksanaannya oleh MOF dan KKR. – PAHANGMEDIA