YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media Pembukaan Pendaftaran Permohonan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) di Wisma Sri Pahang.

KERAJAAN PAHANG SOKONG BENARKAN BUKA PUASA DI PADANG MBK 1

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 29 MAC 2022 : Kerajaan Pahang memberi sokongan penuh bagi membenarkan aktiviti berbuka puasa di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, di Jalan Mahkota dijalankan kembali tahun ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata namun demikian ia masih tertakluk kepada kelulusan daripada Majlis Keselataman Negara (MKN).

“Kerajaan Negeri tak ada masalah tetapi kena mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) daripada segi SOP dan sebagainya.

“Kita menyokong kuat supaya diberi kebenaran. Kerajaan Negeri bagi kebenaran tetapi terpulang kepada MKN. Mungkin dia lulus atau mungkin dia tak lulus, kalau dia lulus mungkin kena patuhi syarat-syarat SOP dan sebagainya. Tapi Kerajaan Negeri dah bagi sokongan.

“Kerajaan Negeri tak ada kuasa untuk beri kelulusan, bab kelulusan hanyalah MKN. Cuma kita boleh bagi pandangan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pembukaan Pendaftaran Permohonan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) di Wisma Sri Pahang.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Razihan Adzharuddin.

Beliau turut berharap pandangan yang dikeluarkan Kerajaan Pahang ini akan diambil kira oleh pihak MKN bagi memberikan kelulusan.

Untuk rekod, pada 23 Mac, Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin memaklumkan pihaknya telah pun mengemukakan cadangan untuk membenarkan aktiviti berbuka puasa di padang MBK1 kepada pihak Kerajaan Pahang dan MKN, namun masih menunggu kelulusan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download