YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

KERAJAAN PAHANG PERUNTUK RM20 JUTA BAGI SKIM PEMBIAYAAN KEWANGAN USAHAWAN MIKRO

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 29 MAC 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM20 juta kepada usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19 melalui Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, skim yang akan dilaksanakan pada tahun ini dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 2,500 penerima merupakan inisiatif Kerajaan Pahang yang telah diumumkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2022.

“Tujuan utama skim ini adalah untuk membantu usahawan-usahawan yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Di mana mereka yang berniaga, tiba-tiba pandemik ini datang, merencatkan urusniaga mereka.

“Jadi atas keperihatinan Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan pembiayaan skim I-PUSH ini yang mana kita menawarkan pinjaman ini di antara RM3,000 sehingga RM10,000. Dalam tempoh setahun pertama, kita kenakan moratorium, tidak perlu ada apa-apa pembayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pembukaan Pendaftaran Permohonan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) di Wisma Sri Pahang.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Razihan Adzharuddin.

Menurut beliau lagi, skim ini juga turut memperkenalkan pembayaran balik pembiayaan tanpa faedah bagi mengurangkan beban pemohon.

“Bagi mengurangkan beban pemohon, pembayaran balik pembiayaan tanpa faedah turut diperkenalkan dalam skim I-PUSH iaitu lima tahun tempoh pembiayaan termasuk tahun pertama moratorium yang diberikan.

“Jumlah pembiayaan akan disalurkan untuk setiap pemohon yang berjaya adalah antara RM3,000 sehingga RM10,000 berdasarkan syarat-syarat kelayakan tertera, selain tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Panel Pemilih Skim I-PUSH yang dilantik oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Pahang juga akan mempertimbangkan untuk memperluaskan skim ini sekiranya mendapat sambutan daripada para usahawan.

“Kerajaan Negeri akan pertimbangkan balik berdasarkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri. Kita tengok macam mana bayar balik (pinjaman) dan sebagainya, dan sekiranya masih ada lagi, Kerajaan Negeri akan pertimbangkan,” katanya.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri juga akan menjalin hubungan kerjasama dengan bank tempatan sebagai bank pelaksana atau ejen I-PUSH.

“Kerajaan Negeri percaya bantuan pembiayaan ini dapat dicapai kepada kumpulan sasar yang lebih meluas melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dengan bank pelaksana yang akan diputuskan kelak.

“Pemohon Skim I-PUSH boleh merujuk Panduan Permohonan Skim I-PUSH yang dimuat naik di portal rasmi https://smu.pahang.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited membantu usahawan terjejas bagi menjamin kesejahteraan Rakyat Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download