Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 29 MAC 2022 : Situasi hujan yang turun secara berterusan selama tiga hingga empat hari telah menyumbang kepada banjir buruk di beberapa kawasan di Bentong pada hujung tahun lalu .
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, keadaan lebih malang apabila jumlah taburan hujan selama setahun turun hanya dalam tempoh tiga hari.
“Dari segi jangkaan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) sememangnya pada tahun ini tak ada banjir besar, tetapi disebabkan kesan angin Taufan Rai daripada Filipina yang di luar kawalan telah menyebabkan air hujan yang sepatutnya turun dalam masa setahun, telah turun dalam masa tiga ke empat hari.
“Ini di luar kemampuan Kerajaan Negeri untuk atasi, tanyalah mana-mana negara pun takkan mampu nak menghadapi atau mengatasi keadaan luar biasa ini..libasan angin taufan itu menyebabkan Malaysia juga mengalami kesannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah berkenaan isu yang dibawa Ahli Dewan Negeri (ADN) Bilut, YB. Encik Lee Chin Chen berkenaan bencana banjir melanda daerah Bentong yang dikaitkan dengan isu pembalakan dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Mohd Sharkar turut memberitahu bahawa situasi bencana berkenaan diberi perhatian dan bantuan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat.
“Terima kasih atas kerja sungguh-sungguh semua pihak yang membantu semua mangsa banjir.
“Kerajaan Negeri komited dalam usaha memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terjamin selain mempertingkatkan usaha dan perancangan sehabis baik tidak kira penyelesaian dalam jangka panjang mahupun pendek,” katanya. -PAHANGMEDIA