Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG AMBIL INISIATIF MEMELIHARA HARIMAU MALAYA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 28 MAC 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini sedang mengambil inisiatif memelihara harimau Malaya yang hampir pupus.

Baginda bertitah, inisiatif berkenaan digerakkan bersama dalam usaha untuk memelihara alam sekitar, flora dan fauna di negeri ini.

“Kini, saya sedang menggerakkan usaha memelihara alam sekitar, flora dan fauna di negeri kita yang tercinta ini. Ini termasuklah inisiatif untuk memelihara harimau Malaya yang kini berada di ambang kepupusan.

“Sekiranya kita semua tidak memberikan perhatian yang sewajarnya, tidak mustahil anak cucu kita hanya akan dapat melihat dan mengenal harimau Malaya sekadar dalam jata negara mahupun di kulit pasport kita sahaja,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Baginda bertitah bahawa khazanah alam sekitar adalah untuk generasi akan datang dan Kerajaan Pahang perlu menambah keluasan rizab Hutan Simpan Kekal (HSK) setiap tahun.

“Saya cukup berbesar hati kerana kawasan Hutan Simpan Kekal dan Hutan Simpan di negeri saya telah ditambah lebih 7,000 hektar pada tahun ini menjadikan jumlah kira-kira 1.6 juta hektar Hutan Simpan Kekal di Pahang.

“Angka ini sekaligus menobatkan Pahang sebagai negeri yang mempunyai rizab hutan terbesar di Semenanjung Malaysia,” titah baginda

Baginda bertitah penubuhan Majlis Biodiversiti Pahang dan Perbadanan Taman Negeri Pahang pada 1 Januari lepas juga tepat pada masanya.

Titah baginda, usaha memelihara alam sekitar ini tidah akan membuahkan hasil tanpa sokongan dan strategi daripada barisan pentadbiran Kerajaan Pahang.

“Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya. Saya seorang sudah pasti tidak akan mampu untuk melaksanakannya.

“Justeru, saya menyeru agar yang berhormat Ahli-ahli Dewan, Kerajaan saya, agensi-agensi Kerajaan, pihak swasta, mahupun persatuan dan badan bukan Kerajaan, dapat bersama-sama saya dalam menjayakan inisiatif ini, InsyaAllah.

“Selaras dengan itu, saya menyeru agar Good Corporate Governance dihayati sebaik-baiknya dalam menggalas amanah masing-masing untuk terus memelihara alam, flora, fauna, tanah dan bumi Pahang yang tercinta,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download