Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 MAC 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memuji inisiatif kebajikan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Pahang.
Baginda bertitah, semua inisiatif yang diberikan bagi membantu rakyat ini merupakan lebihan hasil kutipan Kerajaan Negeri.
“Inisiatif Pahang Pride Kasih yang diperkenalkan akan dapat membantu warga emas bersasar untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
“Untuk inisiatif Pahang Pride Student pula, setiap keluarga golongan B40 dan M40 akan menerima kad diskaun 20 peratus untuk membeli peralatan persekolahan, malah tambahan RM100 diberikan kepada keluarga miskin dan miskin tegar untuk pembelian set peralatan persekolahan.
“Pahang Pride Kid pula akan memberikan manfaat kepada 25,000 orang bayi yang lahir di Pahang. Rakyat yang melahirkan anak di Pahang akan menerima inisiatif berbentuk wang simpan untuk bayi dan barang keperluan berpantang kepada ibu dengan jumlah RM200 setiap penerima,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Baginda turut melahirkan rasa sukacita dengan usaha Kerajaan dalam menyediakan perumahan kepada rakyat di negeri ini.
“Selain itu, saya juga gembira dengan usaha Kerajaan saya dengan menyediakan perumahan untuk rakyat di Pahang terutamanya bagi mereka yang tidak berkemampuan.
“Rumah Rakyat Pahang (RRP) merupakan satu usaha mulia yang dilaksanakan oleh Kerajaan saya dengan memberikan rumah secara percuma kepada rakyat yang terdiri daripada golongan miskin dan miskin tegar.
“Begitu juga dengan program perumahan, seperti PR1MA Pahang, Rumah Makmur Pahang, serta Skim Tanah Warisan, yang dijual dengan harga mampu milik yang membolehkan rakyat saya untuk memiliki rumah sendiri,” titah baginda.
Baginda juga bertitah agar Kerajaan Pahang mempercepatkan usaha membina penempatan baharu bagi mereka yang sering terlibat banjir.
“Saya juga bertitah agar Kerajaan saya dapat mempercepat usaha untuk membuat penempatan baharu bagi memindahkan mereka yang sering terlibat dengan banjir,” titah baginda lagi.
Baginda turut bertitah supaya pentadbiran Kerajaan Pahang terus melipatgandakan usaha bagi meningkatkan kecekapan pengurusan kutipan hasil negeri selain meneroka sumber-sumber baharu.
“Namun segala insiatif yang dirancang haruslah tidak membebankan rakyat saya, malah perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan mementingkan kelestarian alam.
“Kutipan hasil Negeri Pahang pada tahun 2021 sebanyak RM812 juta berbanding sasaran yang ditetapkan sebanyak RM800 juta adalah amat memberangsangkan.
“InsyaAllah, sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion pada tahun 2022 akan tercapai dengan komitmen semua pihak,” titah baginda. -PAHANGMEDIA