Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 MAC 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan penghargaan kepada komitmen Kerajaan Pahang dalam mengurangkan impak pandemik COVID-19 dan bencana di negeri ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahan bertitah, baginda amat menghargai komitmen dan usaha berterusan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pahang dalam melaksanakan pelbagai strategi.
“Saya difahamkan sebanyak lebih RM75 juta telah dibelanjakan Kerajaan saya pada tahun 2021 bagi tujuan perbelanjaan pengurusan dan operasi mencegah penularan wabak COVID-19.
“Daripada jumlah tersebut, RM31 juta telah diagihkan melalui Pakej Bantuan Prihatin Pahang, yang dilaksanakan melalui 4 fasa, khusus kepada golongan sasar yang terkesan akibat pandemik ini.
“Bagi tahun 2022 pula, saya difahamkan sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan bagi meneruskan Bantuan Prihatin Pahang dan RM40 juta lagi untuk membantu usaha ke arah fasa endemik,” titah baginda.
Baginda turut mezahirkan tahniah kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, barisan pentadbiran Kerajaan Pahang dan petugas barisan hadapan dalam mengawal COVID-19.
“Syabas diucapkan kepada orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, jawatankuasa task force COVID-19 Pahang, terutamanya kepada para petugas barisan hadapan yang telah banyak bekorban tenaga, masa, dan keselamatan diri bagi memastikan penularan wabak COVID-19 ini dapat dikawal dan diurus dengan baik,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Titah baginda lagi, Kerajaan Pahang juga telah membelanjakan RM71 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini melibatkan pelbagai jenis bantuan.
“Saya juga difahamkan sebanyak RM71 juta telah dibelanjakan bagi membantu mangsa banjir di Pahang baru-baru ini melibatkan bantuan wang ihsan, bantuan kematian serta perbelanjaan keperluan di Pusat Pemindahan Sementara Banjir, bantuan sewa rumah serta pemulihan pasca banjir.
“Selain itu, Kerajaan saya juga telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM19,000 untuk setiap rumah yang terjejas teruk dan perlu dibina semula dibawah insentif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.
“Ini menjadikan peruntukan membina sebuah rumah tersebut adalah berjumlah RM75,000 yang mana RM56,000 merupakan sumbangan Kerajaan Persekutuan dan RM19,000 lagi merupakan sumbangan Kerajaan Negeri,” titah baginda. -PAHANGMEDIA