Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 MAC 2022 : Kerajaan Pahang dititah supaya menetapkan misi dan visi di dalam bidang pendidikan bagi memastikan negeri ini mempunyai institusi pendidikan terbaik.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda yakin bahawa sektor pendidikan merupakan elemen yang signifikan dalam pembangunan modal insan sesebuah negeri.
“Saya mahu melihat institusi pendidikan Pahang menjadi antara yang terbaik di negara dan di dunia. Kerajaan saya perlu menetapkan misi dan visi untuk menjadikan Pahang mempunyai sekolah yang terbaik; kolej yang terbaik; universiti yang terbaik; malah pusat-pusat tahfiz yang terbaik.
“Tidak mustahil impian ini boleh dicapai dengan strategi pelaksanaan yang betul dan komitmen tinggi daripada semua pihak,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Baginda dalam titah turut melahirkan harapan supaya inisiatif murni bantuan pendidikan daripada Kerajaaan Pahang melalui Yayasan Pahang dapat diteruskan.
“Saya turut dimaklumkan mengenai komitmen Kerajaan saya menerusi Yayasan Pahang yang telah banyak membantu anak-anak Pahang di sekolah rendah dan sekolah menengah serta mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.
“Saya berharap agar inisiatif murni ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mempertingkatkan tahap pendidikan anak-anak Pahang selain mengelakkan mereka tercicir daripada pendidikan yang sewajarnya,” titah baginda.
Baginda turut menyambut baik usaha memperhebat sistem perhubungan digital di negeri ini bagi memastikan Pahang tidak ketinggalan.
“Selain itu, saya menyambut baik usaha memperhebat sistem perhubungan digital di Negeri saya yang melibatkan pembinaan menara telekomunikasi baharu, menaiktaraf menara sedia ada, dan menyediakan jalur lebar tanpa wayar di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara.
“Seharusnya menuju ke arah Revolusi Industri 5.0 dan pelaksanaan 5G di negara kita, saya tidak mahu Pahang ketinggalan.
“Saya tidak mahu ada lokasi terutamanya di kawasan luar bandar yang masih langsung tidak menerima liputan internet. Kawasan yang menerima liputan internet perlahan pula perlu ditambah baik dari semasa ke semasa,” titah baginda. -PAHANGMEDIA