Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
LIPIS, 26 MAC 2022 : Kerajaan Pahang sedang mempertimbangkan untuk mewartakan kawasan Sungai Yu di sini sebagai kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia sebagai inisiatif bagi menyokong projek Central Forest Spine (CFS) bagi pemuliharaan flora dan fauna.

“Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan untuk mewartakan kawasan seluas 863.85 hektar di Sungai Yu ini sebagai Hutan Simpanan Kekal.
“Usaha ini adalah insiatif bagi menyokong projek Central Forest Spine (CFS) Kerajaan Pusat khususnya dalam pemuliharaan flora dan fauna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Sungai Yu, di sini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang juga sedang berusaha mewartakan empat kawasan di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands sebagai HSK.
“Kerajaan Negeri turut mewartakan kawasan seluas 7 hektar di Kampung Raja di Cameron Highlands sebagai Hutan Simpan Sungai Ikan dan sedang berusaha mewartakan empat lagi kawasan di Mukim Ulu Telom seluas 337.625 hektar sebagai Hutan Simpan Kekal.
“Ini menjadikan tambahan lebih 344 hektar kawasan di Cameron Highlands diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal,” katanya.
Sementara itu, Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, YB. Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata sehingga 28 Februari sebanyak 1.5 juta hektar kawasan HSK di negeri ini telah disijilkan di bawah Pensijilam Pengurusan Hutan Skim Pensjilian Kayu Malaysia (MTCS). – PAHANGMEDIA