Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain yang mengumumkan kadar bayaran Zakat Fitrah Negeri Pahang Darul Makmur bagi Tahun 2022, pada hari ini.

MUIP TETAPKAN RM7 KADAR ZAKAT FITRAH DI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Aiman Shamim Shafik Fauzan (Praktikal) dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (Praktikal)

PEKAN, 24 MAC 2022 : Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah Negeri Pahang pada tahun 2022 ialah sebanyak RM7.

Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain berkata, jumlah tersebut telah diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah selaku sultan dan raja pemerintah bagi Negeri Pahang.

Menurutnya, dua kaedah bayaran disediakan iaitu melalui 930 Amil Zakat Fitrah yang telah ditauliah dengan beberapa garis panduan prosedur operasi standard (SOP) disediakan selaras dengan fasa peralihan ke Endemik COVID-19 bermula 1 April depan.

 

“Bagi kaedah bayaran kedua pula, MUIP telah menyediakan kemudahan pembayaran zakat fitrah secara atas talian (internet) melalui capaian EZAKAT.MUIP.GOV.MY,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Negeri Pahang Tahun 1443H / 2022M di Dewan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Pekan.

YH. Dato’ Ahmad Hairi berkata, MUIP telah menetapkan beberapa SOP bagi pembayaran zakat melalui amil iaitu hanya lafaz akad dibenarkan tanpa berjabat tangan selain mengimbas QR kod menggunakan MySejahtera dan memakai pelitup muka.

Pada Ramadan ini juga, MUIP akan mengagihkan bantuan tahunan hari raya kepada penerima agihan bantuan zakat bulanan dengan jumlah RM2.78 juta membabitkan seramai 5,556 ketua isi rumah.

Manakala bantuan bagi golongan asnaf fakir miskin pula berjumlah RM3.07 juta melibatkan 6,427 ketua isi rumah.

Bagi golongan saudara baharu dan saudara muslim pula turut menerima agihan bantuan tahunan hari raya berjumlah RM1.73 juta dengan melibatkan 3,898 ketua isi rumah.

MUIP juga akan mengagihkan sumbangan kepada masjid-masjid di seluruh Pahang berjumlah RM4.2 juta membabitkan 676 masjid dan surau termasuklah tiga masjid IPTA Negeri Pahang iaitu Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam pada itu, YH. Dato’ Ahmad Hairi berkata, MUIP mensasarkan pertambahan jumlah kutipan zakat fitrah meningkat kepada RM7.5 juta pada tahun ini berbanding RM6.6 juta pada tahun lalu. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download