Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari (kanan) melihat keadaan bekalan air di Kampung Sementeh dan Kampung Sungai Leleh di Lanchang

MASALAH AIR DI KAMPUNG SEMENTEH DAN KAMPUNG SUNGAI LELEH SELESAI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 23 MAC 2022 : Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Kampung Sementeh dan Kampung Sungai Leleh di Lanchang melalui pembinaan paip pintasan sementara.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata pembinaan paip berkenaan merupakan jalan penyelesaian jangka pendek pihaknya bagi memastikan kira-kira 200 penduduk terlibat mendapat bekalan air.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari (kanan) memantau keadaan bekalan air di Kampung Sementeh dan Kampung Sungai Leleh di Lanchang

“Kami (PAIP) berterima kasih kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) Lanchang iaitu YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin yang telah mengutarakan masalah yang dialami penduduk di kawasan ini dan mengusahakan untuk mendapatkan loji air baharu di Lanchang bernilai RM100 juta.

“Buat masa ini, Pengurus PAIP Daerah Temerloh, Encik Mohd Hasrul Hisyam Chik telah berikhtiar bagi penyelesaian jangka pendek dengan menggunakan paip bypass, menukar valve yang dijangka selesai sepenuhnya dalam masa seminggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika melawat kerja pemasangan paip pintasan dan tekanan air di Kampung Sementeh dan Kampung Sungai Leleh, Lanchang.

Beliau berkata pembinaan loji baharu di Lanchang yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri awal tahun ini dijangka dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang berlaku di kawasan ini bagi jangka panjang.

“Bekalan air bagi kawasan Lanchang ini adalah daripada loji air di Lubuk Kawah dan kawasan ini merupakan kawasan yang tinggi dan tekanan air menjadi rendah. Jadi berlaku gangguan dalam bekalan air yang disalurkan kepada penduduk di kawasan ini.

“Namun demikian, masalah ini akan selesai sepenuhnya setelah pembinaan loji baharu di Lanchang tidak lama lagi,” katanya.

Menurut seorang penduduk Kampung Sementeh, Encik Mohd Kama Mohd, 58, berkata penduduk di kampungnya kini dapat menarik nafas lega apabila bekalan air ke kampung mereka tidak lagi terganggu setelah pembinaan paip pintasan ini dilakukan pihak PAIP.

“Alhamdulillah sekarang air dah ada siang malam, dah tak ada masalah dah. Dulu bukan tak ada, tapi kecil sangat air yang keluar,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download