YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang pada Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Pahang Darul Makmur Sesi 2022/2023 di Hotel Zenith.

KETUA KAMPUNG PIKUL PERANAN TERPENTING DALAM MASYARAKAT

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)

KUANTAN, 22 MAC 2022 : Peranan Ketua Kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tidak hanya terbatas sebagai pentadbir kawasan tetapi ia turut meliputi tanggungjawab menjaga kebajikan setiap anggota masyarakat di sesebuah kawasan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap daripada mereka memikul amanah untuk memastikan tiada penduduk di kawasan masing-masing keciciran dari segi bantuan mahupun perhatian.

“Tugas dan tanggungjawab mereka adalah untuk membantu masyarakat atau individu di kampung tersebut yang mempunyai masalah atau memerlukan bantuan, tanpa mengira ideologi harus membantu kerana mereka ini orang susah.

“Katakan lah mereka ini sakit terlantar atau pun ibu tunggal yang miskin, atau mereka yang tak mampu tanggung anak (pelajaran) dari segi perlu biasiswa atau pinjaman pun kita kena bantu.

“Dengan kata lain tugas mereka adalah untuk mengenalpasti rakyat di kampung yang mereka wakil itu supaya tiada yang tercicir dari pembelaaan. Itu adalah tanggungjawab mereka, sebab itulah kita lantik mereka sebagai pengerusi JPKK, maknanya kena tahu keadaan semua rakyat-rakyat di kampung tu, apa masalah dia, apa keperluan dan mereka perlu membawanya kepada pihak berkuasa seperti Pegawai Daerah, Penghulu, wakil rakyat dan sebagainya untuk disampaikan dan dalam masa sama kita ambil tindakan untuk bantu selesaikan,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Pahang Darul Makmur Sesi 2022/2023 di Hotel Zenith.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Amanat dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Pahang Darul Makmur Sesi 2022/2023 di Hotel Zenith, di sini hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta barisan exco negeri Pahang.

Menyentuh berkenaan penyerahan watikah pelantikan berkenaan, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan ucapan tahniah kepada mereka yang baru dilantik dan rasa penghargaan kepada mereka yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Kampung sebelum ini.

“Hari ini saya memyampaikan watikah pelantikan kepada 543 orang Pengerusi JPKK dari seluruh Negeri Pahang termasuk 62 buah JPKK baharu yang ditubuhkan di di negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga telah menaikkan elaun mereka daripada RM500 kepada RM750 sebulan. Kita merasakan bahawa khidmat bakti mereka sangat penting dan saya berharap agar ia dapat menambakan lagi tugas dan tanggungjawab mereka yang saya dapati lebih mencabar kini,” katanya.

Beliau berkata, setiap ketua kampung merupakan mata dan telinga kerajaan dan disebabkan itu mereka perlu memainkan peranan masing-masing dengan lebih peka terhadap tanggungjawab yang dipikul di mana keadaan persekitaran juga berubah mengikut peredaran masa. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download