Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 MAC 2022 : Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) berkongsi rasa prihatin dan kekitaan bersama masyarakat setempat dengan penganjuran program gotong-royong bersempena Sambutan Hari Air Sedunia.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YBhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, gotong-royong ini juga sebagai cara mewujudkan kerjasama yang utuh dalam kalangan warga PAIP.

“Sempena menyambut Hari Air Sedunia, PAIP telah menganjurkan satu Program Gotong-Royong PAIP CAKNA bersama warga Pengurusan Air Pahang Berhad, di mana program ini telah diadakan di kawasan tangki dan rumah pam Medan Warisan, Kuantan.
“Melalui program ini, diharapkan dapat memberi semangat bantu-membantu, bekerjasama, rasa kekitaan, rasa prihatin, dan rasa cakna.

“Selain itu, ianya dapat memberikan imej yang baik kepada masyarakat dan mewujudkan nilai kerjasama di antara kakitangan PAIP,” katanya.
Seramai 50 orang kakitangan PAIP Ibu Pejabat, PAIP Daerah Kuantan dan 11 orang Rejimen Askar Jurutera Diraja (60 RAJD) telah bersama-sama membantu membersihkan kawasan gotong-royong hari ini.

Beliau berkata program seumpama ini juga tidak akan terhenti di sini sahaja malahan akan diteruskan ke daerah-daerah yang lain juga.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam menjayakan program ini. – PAHANGMEDIA