Oleh: Fairus Mohd
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan (Praktikal)
KUANTAN, 22 MAC 2022 : Naskah seni terselit moral dan pengajaran dalam karya-karya dipersembahkan seniman terdahulu seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee begitu dekat dengan masyarakat hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, itulah sebenarnya peranan penting yang dimainkan oleh seniman dalam membentuk sahsiah masyarakat terutama dalam dunia serba mencabar pada hari ini.
“Seniman mempunyai tanggungjawab yang cukup besar kerana karya yang dihasilkan bukan sahaja untuk disukai, namun ia mestilah sarat dengan mesej dan nilai-nilai ketimuran yang kita pegang selama ini.
“Seniman pada hari ini juga berperanan sebagai pencetus idea dalam menggerakkan minda masyarakat menjadi minda pemikiran kritis dan inovatif. Kita perlu sedar, audiens pada hari ini bukan lagi audiens yang hanya menerima apa sahaja yang disajikan tetapi audiens kini adalah responsif dengan turut sama melontarkan idea, pandangan serta kritikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sambutan Hari Seniman Peringkat Negeri Pahang 2022 di Auditorium Darul Makmur Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah (RTM) di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Negeri Pahang selaku Pengerusi JKP Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tuan Haji Sabarudin Yeop Hamza, Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Pahang, Encik Ariffin Awang, Pengarah SKMM Negeri Pahang, Tuan Haji Faisal Md Nor, Ketua Finas Zon Timur, Encik Mahmud Jaafar serta Pengerusi Pertubuhan Karyawan Seni Negeri Pahang, Encik Jamaluddin Hitam.
Program Sambutan Hari Seniman Peringkat Negeri Pahang 2022 ini turut diserikan dengan persembahan dua buah lagu iaitu Seniman Mewarnakan Kehidupan dan Hujan Malam Jumaat oleh Kumpulan Anak Kayan.
Sementara itu, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa peka dan cakna dengan kebajikan rakyat dan tidak sama sekali meminggirkan penggiat seni di negeri ini.
“Kerajaan Negeri juga amat berbangga dengan pencapaian penggiat seni di Pahang seperti Encik Roslan Madun yang bukan hanya membawa nama Pahang bahkan nama Malaysia ke persada dunia.
Beliau tidak jemu memperjuangkan genre lagu rakyat sejak tahun 1981 dan sekali lagi syabas diucapkan buat beliau kerana telah menerima Anugerah Diploma Laureate of II degree dalam Pertandingan Lagu Rakyat The International Contest Of Folk Song Artists, Voices of Ancient Cities di Ryazan Russia pada tahun lalu. Terima kasih buat saudara Roslan Madun kerana mengharumkan nama bumi Pahang dan Malaysia,” katanya.
Di kesempatan sama, beliau turut berharap agar perjuangan semua seniman khususnya di negeri Pahang dalam memartabatkan naskah seni tidak akan pernah terhenti kerana mereka juga dikira sebagai pejuang bangsa. – PAHANGMEDIA