Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 18 MAC 2022 : Kerajaan Negeri Pahang telah siap merancang beberapa langkah dan inisiatif bagi menyelesaikan isu banjir di daerah Bentong.
Ia sekaligus menafikan tuduhan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri tidak melakukan apa-apa termasuk mengambil semua langkah perlu dan bersikap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bentong dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa tindakan pantas juga telah diambil terhadap kejadian banjir kilat di beberapa kawasan kira-kira pukul 10.30 malam semalam yang berlaku akibat hujan lebat berterusan selama beberapa jam.
“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Kampung Chegar Medang dibuka pada pukul 10 malam termasuk penyediaan makanan serta keperluan asas yang diselaraskan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pusat berkenaan juga telah ditutup pada pukul 12 tengahari tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Kerajaan Negeri komited dalam usaha memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terjamin selain mempertingkatkan usaha dan perancangan sehabis baik terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini,” katanya.

Dalam kenyataan sama turut dimaklumkan berkenaan kerja-kerja pemulihan pasca banjir sedang giat dijalankan termasuk kerja-kerja pembersihan, baik pulih kawasan terjejas dan bantuan-bantuan kebajikan.
“Beberapa langkah cadangan bagi menangani isu bermula dari aspek pengesanan banjir dan sistem pengurusan banjir juga telah dilakukan. Ia diperhalusi melalui mesyuarat post-mortem bencana banjir yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar termasuk cadangan menambah stesen hujan dan stesen aras air serta cadangan penambahan siren amaran banjir.

“Dari segi pengurusan banjir, perancangan yang dibuat adalah termasuk kerja-kerja pemulihan sungai, melaksanakan kajian tebatan banjir di seluruh daerah Bentong dan cadangan mewujudkan Empangan Telemong bagi mengurangkan risiko banjir, ” katanya.
Selain itu, permohonan bagi melaksanakan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Bentong bagi kawasan Bandar Bentong (Sungai Bentong dan Sungai Benus), Janda Baik (Sungai Benus), Karak dan Telemong (Sungai Bentong dan Sungai Telemong) serta Pelangai (Sungai Teriang) juga sedang diteliti. -PAHANGMEDIA