Oleh: Fairus Mohd
PEKAN, 16 MAC 2022 : Keadaan kesihatan yang semakin merosot sejak Julai tahun lalu menyebabkan Puan Kelsom Ibrahim, 84, kini hanya terlantar dan bergantung pada bantuan oksigen.
Lebih menghibakan, suaminya, Encik Muhamad Ahmad, 85, yang juga bekas peneroka Felda Chini 5 kini sudah uzur dan menghidap penyakit nyanyuk serta turut memerlukan perhatian daripada ahli keluarga.
Menantu pasangan ini, Puan Suhaida Ismail, 53, berkata dia mengambil tanggungjawab bersama anak-anak, biras Puan Zaminah Idris, 52, serta cucu, Cik Rabiatul Adawiyah,32, bagi memastikan keperluan kedua-duanya dijaga dengan baik.
“Ibu mentua saya menghidap penyakit darah tinggi dah disahkan strok otak pada tahun 2018. Kemudian tahap kesihatannya semakin merosot dan sekarang semakin teruk selepas menghidap kencing manis sejak beberapa bulan lalu. Kami juga perlu membersihkan luka-luka di kaki yang terjadi akibat penyakit kencing manis yang dihidapi setiap hari.
“Sejak itu jenis susu yang diminum terpaksa ditukar kerana ibu mentua saya tidak mampu makan atau minum selain bergantung sepenuhnya kepada susu yang disalurkan melalui tiub,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP) di rumahnya.
Keadaan pasangan suami isteri ini turut mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB Mohd Sharim Md Zain yang berkesempatan menziarahi dan menyampaikan sumbangan.
“Saya bersimpati dengan keadaan makcik Kelsom dan pakcik Muhamad kini, apa yang diharapkan ialah keluarga ini terus kuat menghadapi ujian daripada Allah SWT.
“Semoga keluarga ini dipermudahkan urusan dan dikurnikan kesihatan agar terus dapat menjaga ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan perhatian sebaiknya,” katanya. -PAHANGMEDIA