Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 15 MAC 2022 : “Sebelum ini setiap bulan saya terpaksa membelanja sebanyak RM65 untuk ambil ubat sakit jantung, tapi hari ni Kerajaan Pahang bagi bantuan seperti ini, saya amat berterima kasih.”
Itu ujar Encik Mustafa Kasim yang merupakan salah seorang penerima Kad Kesihatan Warga Emas Negeri Pahang di Dewan Negeri (DN) Bebar hari ini.

Encik Mustafa, 80, dari Kampung Permatang Pauh melahirkan rasa gembira dengan usaha Kerajaan Pahang menyantuni warga emas di negeri ini.
“Dengan adanya bantuan seperti ini, saya amat berterima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Kerajaan Negeri Pahang dan juga YB Dato’ Fakharuddin.
“Yang dengan usaha mereka, kita orang tua-tua seperti saya ini dapatlah menikmati bantuan macam ni. Kita orang tua ni pun kekurangan kewangan jadi kad ini dapatlah menampung kos rawatan kita,” katanya yang merupakan pesakit jantung.

Sementara itu, Puan Puan Habibah Sulaiman, 76, dari Kampung Permatang Kuantan Merchong berkata kad ini sangat membantu warga emas seperti dirinya untuk mendapatkan bantuan perubatan.
“Tak tahu nak cakap rasa terima kasih dekat Kerajaan Negeri Pahang, dekat YB Dato’ Fakharuddin hahi kad ni dekat kami.
“Terima kasih banyak-banyak bagi kad ni, bila sakit bolehlah guna,bila tak sihat kita boleh pergi ke klinik swasta yang ada, mudah sikit,” kongsi Puan Habibah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, pemberian kad kesihatan ini merupakan julung kali diadakan di DN Bebar.
“Bantuan kad ini adalah sebagai tanda kita menghargai warga emas yang ada di DN Bebar dan daerah Pekan ini.
“Ini juga sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang Kerajaan Negeri Pahang kepada rakyat negeri ini dengan tidak mengabaikan mana-mana golongan dalam pemberian bantuan,” katanya.
Seramai 347 penerima telah menerima bantuan Kad Kesihatan Warga Emas Negeri Pahang di Dewan Negeri (DN) Bebar hari ini yang turut dihadiri Pegawai Daerah Pekan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli. -PAHANGMEDIA