Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin bersama peserta sukan dalam talian (e-sport) yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Kuantan semalam.

SUKAN E-SPORT DIJADIKAN ACARA TAHUNAN SAMBUTAN MBK

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 14 MAC 2022 : Penganjuran sukan dalam talian (e-sport) akan dijadikan acara tahunan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dalam sambutan ulang tahunnya.

Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, ini berdasarkan sambutan yang sangat baik oleh anak muda dalam pertandingan yang dijalankan semalam.

“Sambutan yang kita (MBK) terima bagi pertandingan ini PUBG Mobile ini adalah sangat baik daripada anak-anak muda.

“Mereka ini bukan saja datang dari Kuantan tetapi juga dari negeri-negeri lain dan kita bercadang mungkin akan menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan selepas ini,” katanya.

Peserta sukan dalam talian (e-sport) yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Kuantan semalam.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika dihubungi hari ini.

Program berkenaan dirasmikan secara maya oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri Tioman, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain.

Beliau berkata sebanyak 64 kumpulan melibatkan 240 peserta daripada seluruh negara telah menyertai pertandingan ini semalam.

“Johan bagi pertandingan ini ialah pasukan Envy Super My, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh 4Bot dan Axis Matrix.

“Pertandingan e-Sport PUBG Mobile ini dianjurkan sempena sambutan ulang tahun pertama Majlis Bandaraya Kuantan yang telah berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Bandaraya Kuantan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download