Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin melepaskan Misi Bantuan Banjir Ke Hulu Terengganu di Foyer Kompleks Bandaraya Kuantan hari ini.

MBK HANTAR 55 ANGGOTA, 15 KENDERAAN KE MISI BANTUAN BANJIR TERENGGANU

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 08 MAC 2022 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menghantar 55 kakitangan bersama 15 buah kenderaan bagi misi bantuan pasca banjir Terengganu hari ini.

Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, program prihatin ini akan menumpukan kepada kerja-kerja mencuci selain menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir.

“Kita menghantar lebih kurang 55 anggota ke sana dan Alhamdulillah AlamFlora dan SWCorp turut bersama dengan MBK untuk menghantar bantuan terutamanya kerja-kerja mencuci selain memberi bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir.

“Dan tumpuan kita adalah di kawasan Hulu Terengganu yang kita tahu kawasan tersebut agak terjejas teruk juga baru-baru ini,” katanya.

Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin

Beliau berkata demikian selepas melepasian Misi Bantuan Banjir Ke Hulu Terengganu di Foyer Kompleks Bandaraya Kuantan hari ini yang turut dihadiri Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Pahang, Encik Sharudin Hamid.

Beliau berkata bantuan ini merupakan bantuan susulan selepas pelepasan bersama 350 sukarelawan negeri Pahang anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Ahad lepas.

“Misi ini sebenarnya telah bermula pada Ahad lepas, dan hari ini kita menambah lagi kekuatan bantuan tersebut dan kita akan teruskan (misi bantuan ini) sehingga hari Jumaat.

“Bagi bantuan pada hari Ahad, kita (MBK) telah bergabung dengan Pejabat SUK,dan Puspanita, di mana kita hantar 10 orang dan dua lori. Tapi hari ni kita tambah dengan kekuatan saya rasa amat memberi signifikan yang berkesan iaitu kita tambah 55 anggota dan lebih 15 kenderaan.

“Kita juga bawa barang makanan seperti beras, tepung, gula untuk kita salurkan kepada pihak berkenaan di sana, lebih kurang 200 pek dan dalam masa terdekat kita akan tambah lagi (barang keperluan ini) sekiranya kita dapat sumbangan daripada para penyumbang,” katanya.

Sebanyak enam daerah di Terengganu terjejas banjir bermula 26 Februari sehingga 5 Mac lalu dengan Kemaman merekodkan jumlah tertinggi mangsa yang dipindahkan, diikuti Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, dan Setiu. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download