Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan
LIPIS, 5 MAC 2022 : Seramai 42,205 pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di seluruh Pahang menerima bantuan biasiswa daripada Yayasan Pahang berjumlah RM13.6 juta pada tahun 2022.
Bantuan biasiswa ini diberikan bertujuan membantu para pelajar bagi kegunaan persekolahan dan mengelakkan anak-anak daripada keciciran dalam pelajaran akibat masalah kewangan selain dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan peralatan persekolahan bagi sesi baharu tahun 2022.

Justeru, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut menasihati para pelajar supaya dapat memanfaatkan biasiswa yang diterima supaya dapat digunakan sebaik mungkin untuk pembelajaran sehingga dapat menjadi orang yang berguna.
“Ada kata pepatah orang tua-tua, kalau berjalan biar sampai ke batas, kalau berlayar biar sampai ke pulau, maksudnya, kita harus berusaha secara bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu tujuan dan belajarlah hingga ke menara gading.
“Saya ingin berpesan kepada anak-anak kita agar belajar dan jangan berputus asa. Jangan disebabkan oleh kegagalan kita berputus asa, tidak. Kerana kalau kita gagal sekali, tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP), Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Yayasan Pahang bagi Kawasan Dewan Negeri Jelai di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan, Lipis, semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, YB Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Dato’ Mahmud Mohd Nawawi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin; Pengarah Pendidikan Pahang, Tuan Mohammad Rosli Abdul Rahman dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Dalam ucapan sama, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyeru para pelajar agar belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi kebanggaan rakyat Pahang dan seterusnya kembali ke negeri ini untuk berkhidmat kepada masyarakat dan rakyat Pahang.
“Kita mahu rakyat Pahang berjaya menjadi insan yang berguna dan datang balik ke Pahang untuk menyumbang bakti demi rakyat Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA