Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan
LIPIS, 4 MAC 2022 : Sebanyak RM2.36 juta diperuntukkan kepada seramai 23,617 murid tahun satu di seluruh Pahang bagi sesi persekolahan tahun 2022.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar yang mendaftar tahun satu di seluruh negeri ini.
“Jadi saya harap dengan inisiatif oleh Kerajaan Negeri ini akan dapat meringankan beban ibu bapa dan penjaga dalam penyediaan peralatan persekolah untuk anak-anak mereka di samping itu sebelum ini kerajaan ada memberikan 20 peratus diskaun untuk anak-anak kita yang membeli buku-buku (Pahang Pride Student),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Off River Storage (ORS) Kuala Medang, di Lipis, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, Puan Ir. Roslina Yusop dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Program Bantuan Awal Persekolahan ini merupakan kesinambungan daripada program sebelum ini bertujuan memberikan semangat dan motivasi kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan.
Menurutnya, bantuan awal persekolahan ini tidak memerlukan sebarang dan dapatan nama murid adalah secara automatik menerusi data daripada pihak sekolah dan pejabat pendidikan daerah.
“Kerajaan akan menyalurkan bantuan ini menerusi Exco Pendidikan yang akan mengaturkan perkara ini dan kita akan salurkan dalam masa terdekat. Ianya mudah tiada sebarang borang diperlukan cumanya secara automatik ia masuk ke dalam data daripada sekolah dan pejabat pendidikan negeri,” katanya. – PAHANGMEDIA