YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menunjukkan pelan Kolam Takungan Hiliran ORS di atas tanah seluas 5 ekar di Kuala Medang, Lipis hari ini.

KERAJAAN PAHANG PERUNTUK RM12 JUTA BINA ORS DI KUALA MEDANG, LIPIS

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan

LIPIS, 4 MAC 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sejumlah RM12 juta bagi projek pembinaan Kolam Takungan Hiliran (Off River Storage – ORS) di atas tanah seluas 5 ekar di Kuala Medang, di sini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek pembinaan terbabit mengambil masa selama 52 minggu untuk disiapkan di mana projek telah bermula pada Disember 2021 dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada November 2022.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menandatangani plak perasmian pada Majlis Pecah Tanah Off River Storage Kuala Medang, Lipis hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Pahang amat mengambil berat berhubung permasalahan bekalan air bersih yang melibatkan rakyat di negeri ini.

“Kerajaan negeri memberi perhatian serius bersabit dengan pembekalan air ini, sebab itulah pada tahun 2021, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM92.5 juta untuk pembangunan infrastruktur pembekalan air ini serta menaik taraf sistem dan pada tahun sahaja kerajaan telah menetapkan peruntukan sebanyak RM151.28 juta dan ini bermakna peningkatan sebanyak RM58.78 juta berbanding tahun lepas,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pecah Tanah Projek Off River Storage Kuala Medang, Lipis, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Off River Storage (ORS) Kuala Medang, di Lipis, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH. Dato’ Razihan Adzharuddin; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, Puan Ir. Roslina Yusop dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.

Beliau berkata, Kolam Takungan Hiliran terbabit akan dapat memberi manfaat kepada hampir 3,000 penduduk di beberapa kampung termasuklah Kampung Kuala Medang, FELDA Koyan 1, 2 dan 3, Tanjung Gahai, Agropolitan Gahai dan Kampung Dusun Pak Senam.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang kepada seorang penerima, pada Majlis Pecah Tanah Projek ORS Kuala Medang, Lipis, hari ini.

ORS ini merupakan pendekatan yang dilaksanakan bertujuan memastikan bekalan air bersih dapat disediakan bagi manfaat penduduk setempat selain dapat menampung pertambahan jumlah penduduk dan perkembangan industri serta dapat juga digunakan untuk aktiviti rekreasi dan sukan air kelak. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download