Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 3 MAC 2022 : Seramai 28 peserta daripada 13 daerah termasuklah dua orang johan menunggu berentap pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-65 yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mac lalu.
Bagi kategori qari, peserta dari Daerah Raub, Encik Mohamad Syaheed Sabri dinobatkan sebagai johan dengan 94.5 markah, manakala peserta dari Daerah Bentong, Encik Zul-Hasyimi Mohamed Yunus pula meraih naib johan dengan 91.5 markah dan Encik Ahmad Yaseer Mohd Najid dari Kuantan pula memenangi tempat ketiga dengan 90 markah.
Kategori qariah pula, johan dirangkul oleh Cik Siti Fatimah Mohd Noor dengan 79.5 markah, naib johan oleh Puan Nor Ainun Hassan dengan 75 markah manakala tempat ketiga dimenangi oleh johan menunggu iaitu Puan Norhanani Ayob dengan 74.5 markah.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang hadir mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-65 1443H / 2022M yang berlangsung di Hotel Swiss-Bel, di Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, YB. Setiausaha Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengarah Jabatan Agama Pahang (JAIP), YH Dato’ Dr. Haji Zulkifle Haji Ali Al-Hafiz.
Sementara itu, Johan Qari, Encik Mohamad Syaheed yang merangkul gelaran johan buat kali keempat berasa sangat gembira dan tidak menyangka akan dinobatkan sekali lagi sebagai johan kerana saingan yang hebat di kalangan peserta lain.
“Saya tidak menjangka kemenangan ini sebenarnya, kerana kalau ikutkab semalam banyak juga saya rombak bacaan di atas pentas secara spontan kerana berlakunya kesilapan pada wakaf iqtidal,” katanya.
Manakala Johan Qariah pula, Cik Siti Fatimah berkata, sebagaj johan qariah yang akan mewakili Negeri Pahang ke peringkat kebangsaan, beliau berhasrat untuk memperbaiki bacaan selain berkongsi pengalaman dengan qari dan qariah yang lebih berpengalaman.
“Persiapan, saya berhasrat untuk bertemu dengan qari-qari yang berpengalaman untuk perbaiki lebih banyak lagi, untuk bertukar-tukar pengalaman, untuk belajar cara-cara mereka bawa, insyaa Allah,” katanya.
Bagi johan menunggu, Puan Norhanani yang merupakan pemenang tempat ketiga kategori qariah pula berkata, dia terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga meskipun dalam keadaan tidak sihat selepas sembuh daripada COVID-19.
Jelasnya, beliau berhasrat untuk menarik diri daripada penyertaan kerana kesihatan yang tidak mengizinkan namun kerana keazaman dan semangat , beliau meneruskan penyertaannya.
Justeru, beliau berazam untuk terus mempertingkatkan kualiti bacaan pada pertandingan tilawah akan datang.
“Insyaa Allah, kalau ada rezeki panjang umur, tahun depan memang tak masuk dah, rehat, tahun yang akan datang, saya akan berusaha melakukan yang lebih baik dari sebelum ini,” katanya.
Beliau yang berasal dari Bentong berharap kedua-dua johan qari dan qariah dapat membawa kemenangan buat Negeri Pahang di peringkat kebangsaan tidak lama lagi. – PAHANGMEDIA