Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
ROMPIN, 2 MAC 2022 : Seramai 199 orang penduduk di empat buah mukim di daerah ini menerima surat kelulusan tanah dan notis 5A yang diserahkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
Majlis penyerahan surat pemberitahu permohonan tanah yang diluluskan dan notis bahawa hasil tanah harus dibayar (Borang 5A) di Daerah Kecil Muadzam Shah serta Daerah Rompin itu diadakan di Dewan Milenium Lestari UNITEN, Kampus Sultan Haji Ahmad Shah di Muadzam Shah.

Pada majlis sama, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada lima penerima sebelum menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diadakan di lokasi sama.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak, Pegawai Daerah Rompin, YH. Dato’ Ahmad Nasim Dato’ Haji Ahmad Sidek, Barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Negeri (ADN) serta pemimpin setempat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain yang ditemui turut menyampaikan penghargaan di atas kesudian Menteri Besar Pahang meluangkan masa untuk menyerahkan surat kelulusan berkenaan.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang di atas penyampaian surat kelulusan tanah pada hari ini.
“Kita di Rompin ini amat bertuah kerana Kerajaan Negeri sentiasa prihatin atas pemberian milikan tanah seluas empat ekar atau kurang daripada empat ekar mengikut setiap permohonan yang telah diluluskan.
“Ini adalah proses yang biasa dilakukan di setiap tempat dan tempoh masa yang agak panjang untuk memperoleh pemilikan ini diharap dapat dimanfaat oleh setiap penerima,” katanya. -PAHANGMEDIA