Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 27 DISEMBER 2022 : Penduduk di Pulau Tioman kini dapat menikmati perkhidmatan talian tetap berkelajuan tinggi dan lebih stabil selepas siapnya pemasangan rangkaian gentian optik di kawasan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff melalui pelaksanaan ini, dijangkakan hampir 1,000 premis yang meliputi premis kediaman dan komersial di Kampung Salang, Kampung Paya, Kampung Genting, Kampung Tekek, Kampung Air Batang dan Kampung Juara akan mendapat manfaat.
Beliau berkata, projek ini telah bermula pada bulan September 2021 dan ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan JENDELA.
“Kita menyasarkan bilangan premis di Daerah Rompin yang akan disambungkan dengan rangkaian gentian optik ialah sebanyak 4,937 premis sebelum penghujung tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata, dibawah pelaksanaan pelan JENDELA Rompin, sebanyak 32 menara baharu juga telah dirancang dibina dimana empat telah siap pada tahun lepas yang terletak di Felda Selancar 3, Felda Keratong 5, Mekassar Estate dan Ladang Sungai Seraya.
“Baki 28 termasuk di Kota Shahbandar yang pernah tular sebelum ini, kini dalam pelbagai peringkat perlaksanaan dan akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2022.
“Bagi naiktaraf stesen pemancar ke rangkaian 4G pula, sebanyak 121 stesen pemancar telah dirancang di mana 93 telah siap dinaiktaraf. Baki 28 lagi akan siap selewatnya penghujung Mac 2022,” katanya. – PAHANGMEDIA