Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi
KUANTAN, 23 FEBRUARI 2022 : Pemeriksaan rawak secara lebih menyeluruh akan dilakukan polis Pahang di lokasi tumpuan pelancong ketika musim cuti persekolahan yang bermula 26 Februari ini.
Ketua Polis Pahang, YDH. Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf berkata, buat masa ini belum ada keperluan menambahkan jumlah pegawai dan anggota bagi tujuan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan pelancong berkenaan.
“Pegawai dan anggota sedia ada masih mencukupi bagi tujuan pemantauan SOP dan kita percaya mereka boleh menjalankan tugasan itu seperti diarahkan.
“Kalau di Pulau Tioman sebagai contoh, pegawai dan anggota kita memang diarahkan membuat semakan di jeti bagi memastikan hanya mereka yang sudah lengkap vaksin dibenarkan ke pulau itu.
“Begitu juga di Cameron Highlands, mereka akan melakukan pemeriksaan secara rawak bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran SOP yang sudah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pahang Pride Student di Pekarangan MBS World, Jalan Tanah Putih, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan satu kompaun dikeluarkan polis Pahang kepada pengunjung Pulau Tioman dua hari lalu kerana gagal menunjukkan bukti vaksinasi ketika pemeriksaan dilakukan.
“Setakat ini hanya satu (kompaun) dikeluarkan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain juga ada keluarkan kompaun, tapi saya tidak pasti berapa (kompaun) yang mereka keluarkan.
“Pendekatan polis Pahang masih sama, kita jaranglah keluarkan kompaun, macam di Pulau Tioman itu, kita keluarkan kerana ia membabitkan kesalahan yang sangat terlampau, macam mana boleh lepas ke Pulau Tioman tanpa sijil vaksin,” katanya.
Beliau berkata, polis masih mengambil pendekatan memberi nasihat terlebih dahulu sebelum bertindak mengeluarkan kompaun membabitkan kegagalan pematuhan SOP.
Katanya, pihak polis tidak boleh menghalang orang ramai untuk mengunjungi kawasan tumpuan pelancongan kerana itu adalah hak mereka dan paling penting ialah semua pihak memainkan peranan bagi memastikan aspek pematuhan SOP sentiasa diberi keutamaan sepanjang masa. – PAHANGMEDIA