KUANTAN, 21 FEBRUARI 2022 : Pentadbir Tanah Maran telah mengeluarkan Notis Pendudukan Tanah Kerajaan Tanpa Kebenaran Pihak Berkuasa Negeri di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 kepada pengusaha kelulut pada 14 Februari lalu ekoran aduan orang awam terhadap pencerobohan tanah kerajaan di Taman Sri Keramat, Maran.
Dalam satu notis yang dikeluarkan, Pentadbir Tanah Maran menyatakan bahawa pengusaha berkenaan pernah mengemukakan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) namun permohonan tersebut telah ditolak oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Ia berikutan kawasan berkenaan berada dalam senarai kawasan yang dibekukan permohonan selaras keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang ke 42 Tahun 1988.
Pihak Pentadbir Tanah Maran turut menerima aduan awam berkaitan penggunaan sumber air bukit oleh pengusaha kelulut tersebut yang merupakan sumber air bersih penduduk sekitar tanah yang diceroboh.
Aduan turut menyatakan bahawa penduduk kampung turut dihalang dan dikenakan caj penggunaan oleh pengusaha kelulut tersebut bagi penggunaan sumber air bukit.
Pentadbir Tanah Maran berharap agar semua pihak tidak mensensasikan atau mempolitikkan isu ini kerana semua tindakan yang telah diambil adalah mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa. – PAHANGMEDIA