Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
JOHOR BAHRU, 18 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Pahang menandatangani Memorandum Perjanjian Pelaburan (MoA) bernilai RM5.5 bilion dengan beberapa syarikat pelabur luar negara hari ini.
Perjanjian itu dimeterai di antara Badan Berkanun Negeri Pahang bersama syarikat-syarikat pelabur luar negara dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan melibatkan enam projek pelaburan.
Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) yang diwakili oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak menandatangani tiga perjanjian pelaburan bernilai RM1.145 bilion iaitu bersama Ciptaan Gabungan Global Sdn Bhd (Golden Prosperous International Pte Ltd) dari Singapura melibatkan Projek Kilang Pengeluaran Aloi Mangan, berkeluasan 100 ekar di Gebeng, Kuantan bernilai RM1 bilion; Golden Sea Farm (M) Sdn Bhd dari Thailand melibatkan Projek Taman Akuakultur Penternakan Udang berkeluasan 160 ekar di Rompin bernilai RM40 juta; dan BAF Aqua Sdn Bhd (BAF Pte Ltd) dari Thailand melibatkan Projek Ternakan Udang dan Ikan Berteknologi Tinggi berkeluasan 130 ekar di Rompin bernilai RM105 juta.
Pahang Go Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff memeterai perjanjian pelaburan bersama M-Trip Sdn Bhd dari China, melibatkan Projek Aplikasi Mudah Alih Bagi Pelancongan di Pahang bernilai RM66 juta.
Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YH. Dato’ Mohd Faizal Jaafar menandatangani MoA pelaburan bersama IBN Lovocean Sdn Bhd (South Ocean Development LLP) dari Singapura melibatkan Projek Pelancongan Rompin Eco Tourism Park berkeluasan 231 ekar di Sempadan Rompin-Pekan bernilai RM90 juta.
TGA Solutions Sdn Bhd (TGAS) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, YH. Dato’ Haji Amiruddin Mohd Said menandatangani pelaburan bersama Pekan Power Plant Sdn Bhd dari Korea melibatkan Cadangan Pembangunan Janakuasa Elektrik 1,200MW yang berkeluasan 100 ekar di Tanjung Agas, Pekan bernilai RM4.21 billion.
MoA yang disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ini turut dihadiri YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd. Soffi Tan Sri Abdul Razak; dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam ucapan aluannya berkata perjanjian ini mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor dan berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Pahang.
Beliau berkata Kerajaan Pahang menjangkakan dapat menarik pelaburan sebanyak RM18 bilion bagi tahun ini.
“Sepanjang 2021, Kerajaan Negeri telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM11.1 bilion melibatkan RM987 juta pelaburan domestik, dan RM10.1 bilion pelaburan antarabangsa.
“Manakala bagi 2022, Kerajaan Negeri menetapkan KPI Pelaburan Pahang adalah bernilai RM18 bilion dan KPI ini sememangnya mampu dicapai kerana berdasarkan maklumat terkini, potensi pelaburan di bawah seliaan Unit Antarabangsa ketika ini adalah dianggarkan bernilai RM45.7 bilion.
“Jumlah ini melibatkan 20 projek pelaburan langsung domestik dan 42 projek pelaburan langsung asing yang berpotensi melibatkan pelabur dari 10 negara,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Pahang sentiasa berusaha sehabis baik bagi memastikan negeri Pahang dapat dibangun dan dimajukan secara menyeluruh dan seimbang.
“Dengan kata lain, tiada kawasan yang terpinggir dari arus kemodenan dan kemajuan, manakala rakyat dapat menikmati akses kemudahan dan prasarana yang berkualiti di mana jua mereka berada di negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA